suria

Selepas dikeluarkan dari padang, Neymar menangis kesakitan di bangku pemain... tutup muka dengan baju

Rakan sepasukan memberi semangat kepada Neymar.-Getty

NEYMAR menangis di bangku pemain setelah dikeluarkan pada minit ke-80 dan digantikan dengan Antony sebelum Brazil menang 2-0 ke atas Serbia pada aksi Piala Dunia 2022.

Memetik ESPN, bintang Brazil itu sering menjadi sasaran pemain Serbia sehingga dia akhirnya cedera dan perlu digantikan dengan Antony dalam perlawanan di Stadium Lusail, Khamis.

Di bangku pemain simpanan, Neymar diberikan rawatan oleh pasukan medik dengan kakinya ditekan dengan ais.

Malah Neymar dilihat menangis dan menutup wajahnya dengan baju, dipercayai menahan kesakitan pada bahagian kakinya.

Selain itu Neymar juga nampak berjalan terhincut-hincut ketika menuju bilik persalinan Brazil setelah pertandingan tamat.

Satu foto yang menunjukkan pergelangan kaki Neymar bengkak juga tersebar di media sosial.

Dalam perlawanan ini, Neymar bermain di barisan hadapan yang mana Brazil melepaskan 22 sepakan percubaan ke gawang Serbia.

Walaupun mendapat banyak peluang Brazil hanya mampu menjaringkan dua gol oleh Richarlison pada minit ke-62 dan 73.

Neymar melakukan tiga percubaan selama 80 minit dia di padang. Satu tendangannya tidak mengarah ke gawang dan dua lagi dihalang.

Bintang Paris Saint-Germain itu mungkin tidak dapat beraksi pada perlawanan seterusnya menentang Switzerland pada Isnin.

Doktor, Rodrigo Lasmar mengesahkan bahawa Neymar mengalami trauma di bahagian pergelangan kaki dan memerlukan tempoh 24-48 jam untuk menilai keadaan pemain berusia 30 tahun itu.

Jika Neymar tidak dapat bermain, ia satu kerugian besar buat Brazil. Bekas pemain Barcelona itu merupakan nadi utama pasukan kebangsaan yang memburu gelaran keenam di Piala Dunia 2022.

Kemenangan ke atas Serbia meletakkan Brasil naik ke puncak Kumpulan G dengan tiga mata penuh dari satu perlawanan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain