MENAKJUBKAN apabila Croatia mencipta kejutan dengan menyingkirkan Brazil dari Piala Dunia 2022. Croatia mengalahkan pasukan pilihan dan bekas juara menerusi penentuan penalti dengan jaringan 4-2 di Stadium Education City, Al Rayyan, Qatar, Jumaat malam. Jurulatih pasukan ini sendiri, Zlatko Dalic berkata para pemainnya 'tidak normal' kerana mampu menggugurkan pasukan kegemaran dunia yang mempunyai ramai pemain bintang. Sepanjang perlawanan, Croatia berjaya mematahkan serangan demi serangan daripada Neymar dan rakan-rakan. Penjaga golnya, Dominik Livakovic juga luar biasa apabila 11 kali menyelamatkan gawang daripada dilolosi bola sepanjang perlawanan. Walau diasak, Croatia sebenarnya melakukan beberapa keajaiban sehingga berjaya menghantar Brazil pulang awal dari Qatar. Berikut 4 perkara ajaib tersebut: Raja penalti Raja Penalti kini adalah gelaran baharu untuk pasukan Croatia. Mana tidaknya, termasuk kemenangan ke atas Brazil, Croatia berjaya mara ke peringkat seterusnya sebanyak empat kali menerusi penentuan penalti pada dua edisi Piala Dunia. Pada 2018 yang mana pasukan ini melangkah ke final, Croatia mengalahkan Denmark pada peringkat 16 terakhir dan Rusia di suku akhir menerusi penentuan penalti. Pada edisi 2022, Croatia menyingkirkan Jepun di peringkat 16 terakhir dan terbaharu, Brazil pada suku akhir. Sekali tendang terus gol Terdapat satu perkara menarik ketika Croatia menentang Brazil. Mereka cuma sekali melepaskan tendangan ke gawang sepanjang 120 minit perlawanan berlangsung. Satu-satunya tendangan tepat sasaran itu dilakukan Bruno Petkovic sekali gus berjaya membolosi gawang Alisson Becker. Gol itu diraih setelah mereka tertinggal 0-1 selepas Neymar menjaringkan gol pada minit ke-105+1. Petkovic menyamakan jaringan pada minit ke-117, beberapa saat sebelum perlawanan masa tambahan berakhir. Penjaga gol Croatia, Livakovic maraikan kemenangan ke atas Brazil bersama rakan sepasukan. foto AP 3 penjaring bangku simpanan Empat pemain yang mengambil sepakan penalti Croatia nyata mantap. Hanya Luka Modric menjadi pemain dari kesebelasan utama dan selebihnya Nikola Vlasic, Lovro Majer dan Mislav Orsic adalah dari bangku simpanan. Vlasic masuk pada minit ke-72 menggantikan Mario Pasalic sementara Majer menggantikan Mateo Kovacic pada minit ke-105 dan Orsic menggantikan Marcelo Brozovic pada minit ke-114. Ketiga-tiga mereka menendang dengan tenang walaupun berdepan penjaga gol hebat Alisson Becker. Berbeza dengan Brazil, dua pemain dari bangku simpangan iaitu Rodrygo dan Pedro, gagal menyumbat gol. Dominik Livakovic Dia umpama 'mimpi ngeri' bagi sesiapa pun yang berdepan Croatia menerusi penentuan penalti. Selain melakukan 11 kali penyelamatan sepanjang perlawanan dengan Brazil, jumlah itu juga setakat ini menjadi yang terbanyak di Piala Dunia 2022. Menariknya, tujuh dari 11 penyelamatan itu dilakukan Livakovic hasil sepakan pemain-pemain Brazil dari dalam kotak penalti. Livakovic juga menyamai rekod Danijel Subasic di Piala Dunia 2018 yang menepis empat tendangan penalti dalam satu edisi Piala Dunia. -bolacom