WARTAWAN bola sepak Amerika Grant Wahl meninggal dunia pada usia 48 tahun di Qatar ketika membuat liputan Piala Dunia, kata abangnya. Grant telah membuat liputan kemenangan suku akhir Argentina ke atas Belanda pada Jumaat sebelum rebah di Stadium Ikonik Lusail. Wartawan sukan itu dikejarkan ke hospital berdekatan tetapi disahkan telah meninggal dunia. Abangnya, Eric Wahl membuat pengumuman itu dalam video Instagram yang mana dia mendakwa abangnya "sihat" sebelum dia rebah secara tiba-tiba. ARTIKEL BERKAITAN: Piala Dunia Qatar: Hormati larangan LGBTQ, penyokong England dinasihatkan jaga kelakuan termasuk tidak berpegangan tangan Eric juga percaya Grant dibunuh selepas dia baru-baru ini ditahan kerana memakai baju bendera pelangi semasa perlawanan pembukaan Amerika Syarikat menentang Wales. "Nama saya Eric Wahl. Saya tinggal di Seattle, Washington. Saya abang Grant Wahl. Saya gay. "Sayalah sebab dia memakai baju pelangi ke Piala Dunia. Abang saya sihat. Dia memberitahu saya dia menerima ugutan bunuh. Saya tidak percaya abang saya baru sahaja meninggal dunia. Saya percaya dia telah dibunuh. Dan saya hanya memohon sebarang bantuan," ujarnya di Instagram. Untuk rekod, wartawan yang bekerja untuk CBS Sports itu pernah ditahan pada 21 November kerana memakai baju bendera pelangi semasa perlawanan di Stadium Ahmad bin Ali Qatar sebagai tanda solidariti kepada komuniti LGBTQ+. Homoseksualiti adalah haram di Qatar. Dia ditahan selama 30 minit tetapi akhirnya dibenarkan masuk ke stadium. - Daily Star. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI