FERNANDO Santos meletakkan jawatan sebagai pengendali Portugal berikutan kekalahan mengejutkan di tangan Maghribi pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022. Persekutuan Bolasepak Portugal (FPF) berkata, persetujuan dicapai dengan Santos, 68, untuk menamatkan karier penuh gemilangnya yang bermula pada September 2014. FPF kini akan memulakan proses untuk mencari pengendali baharu pasukan kebangsaan dengan Jose Mourinho antara calon yang dikatakan bakal mengisi kerusi panas itu. Media Portugal melaporkan yang Mourinho adalah sasaran utama badan induk itu bagi membawa pasukan di Euro 2024. Malah mereka dikatakan bersedia menawarkan jawatan sementara bagi membolehkan Mourinho menamatkan musim bersama kelab Itali, AS Roma. Jurulatih-jurulatih kelahiran Portugal, Rui Jorge (skuad bawah 21 tahun), Abel Ferreira (Palmeiras), Paulo Fonseca (Lille), Rui Vitoria (Mesir) dan Jorge Jesus (Fenerbahce) turut dikatakan antara calon mengisi jawatan itu. Mourinho, 59, belum pernah membimbing pasukan kebangsaan tetapi mempunyai rekod cemerlang di beberapa kelab gergasi Eropah. Antaranya Porto, Chelsea sebanyak dua kali, Inter Milan, Real Madrid dan Manchester United. Mourinho memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea, dua mahkota Serie A di Inter dan La Liga di Real. Dia turut menjulang Porto di Liga Juara-Juara Eropah 2004 dan mengulangi kejayaan itu bersama Inter Milan pada tahun 2010. Pada Mei tahun ini, dia membimbing Roma menjuarai Liga Konferens Europa, trofi pertama kelab itu dalam kejohanan utama Eropah. Ia adalah gelaran Eropah kelima Mourinho dan menjadikannya pengendali pertama memenangi kesemua kejohanan anjuran UEFA di era ini. Santos meninggalkan legasi tersendiri bersama Portugal apabila membawa pasukan itu menjuarai Euro 2016 dan diikuti dengan Liga Negara-Negara 2019. Bagaimanapun kejayaan itu dicemari dengan penyingkiran di peringkat 16 terakhir Piala Dunia 2018 serta Euro 2020. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI