suria

Mohamed Salah kecewa prestasi semasa Liverpool, gandingan Sadio Mane dirindui

Salah kini dikatakan 'menderita' dengan ketiadaan Sadio Mane. Foto: AFP

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp berkata penyerangnya, Mohamed Salah sedang "menanggung derita" akibat kegagalan trio serangan menemui rentak musim ini.

Penyerang Mesir itu hanya meledak tujuh gol dalam 19 perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini selepas menjaringkan 23 gol pada musim 2021-22.

Dia digandingkan dalam tiga kombinasi berbeza barisan hadapan Liverpool dalam tiga perlawanan terakhirnya.

"Sudah tentu dia menderita. Ia sangat khusus, corak menyerang yang memerlukan kerja keras serta maklumat tepat," kata Klopp.

Gandingan Salah, Roberto Firmino dan Sadio Mane sebelum ini menjadi tunjang kepada corak permainan agresif Liverpool yang menjelmakan gelarang Liga Juara-Juara Eropah serta Liga Perdana Inggeris.

"Ia gandingan mantap di barisan depan, semuanya jelas dengan apa yang kami lakukan. Anda tahu di mana rakan sepasukan berada, boleh membuat hantaran tanpa melihat," katanya.

Namun sejak perpindahan Mane ke Bayern Munich pada musim panas lalu, Salah, 30, sudah digandingkan dengan Firmino, Diogo Jota, Cody Gakpo, Luis Diaz, Darwin Nunez, Harvey Elliot, Fabio Carvalho dan Alex Oxlade-Chamberlain, tetapi kurang berkesan.

Klopp lebih cenderung meletakkan Salah, Nunez dan Diaz untuk menerajui serangannya dan gandingan ini sudah beraksi selama 343 minit musim ini.

Nunez dan Gakpo masih belum menemui rentak dengan Nunez hanya meledak lima gol dalam 14 penampilan liga.

Firmino dan Jota semakin hampir untuk kembali beraksi selepas pulih daripada kecederaan dan Klopp akan berpeluang mencuba beberapa gandingan lagi.

Liverpool kini berada di tangga kesembilan liga selepas hanya mengutip tujuh mata dariapda lima perlawanan terakhir. Mirror

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain