suria

Khabar gembira buat peminat Argentina... Messi terbuka beraksi di Piala Dunia 2026

Messi terbuka beraksi di Piala Dunia 2026. Foto: Reuters

SETELAH merangkul trofi Piala Dunia pertamanya bersama Argentina pada Disember lalu, Lionel Messi berkata kejohanan itu akan menjadi yang terakhir baginya.

Namun, nampaknya kini dia seolah-olah terbuka kepada kemungkinan beraksi dalam Piala Dunia 2026.

"Disebabkan usia, akan sukar bagi saya untuk kembali beraksi pada 2026," kata Messi kepada Diario Ole, sebuah akhbar sukan di Argentina.

"Saya suka bermain bola sepak dan sementara saya rasa masih sihat dan masih menikmati sukan ini, saya akan terus melakukannya. Lagi lama lagi sebelum Piala Dunia akan datang tetapi ia bergantung pada hala tuju kerjaya saya," ujar bintang berusia 35 tahun itu.

Jurulatih Argentina, Lionel Scaloni meluahkan hasrat ingin melihat Messi, yang merupakan salah satu daripada hanya enam pemain untuk beraksi dalam lima temasya Piala Dunia, jika dia beraksi untuk Piala Dunia seterusnya yang akan diadakan di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

"Saya rasa Messi boleh beraksi pada Piala Dunia seterusnya," kata Scaloni kepada stesen radio Sepanyol Calvia FM bulan lalu.

"Ia juga sangat bergantung kepada apa yang dia inginkan dan apa yang akan berlaku sehingga temasya itu, sama ada dia masih tetap dalam keadaan baik. Peluang akan sentiasa terbuka baginya. Dia gembira beraksi di padang, dan bagi kami (itu) adalah terbaik," ujar Scaloni.

Setelah menjaringkan tujuh gol di Piala Dunia 2022, Messi berpeluang bergelar penjaring gol paling banyak sepanjang masa di Piala Dunia jika dia tampil beraksi pada 2026.

Messi mencatatkan rekod 13 gol, iaitu tiga gol di belakang pemegang rekod, Miroslav Klose dari Jerman. - Reuters

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain