KEKALAHAN Khairy Jamaluddin dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagaikan membuka rezeki untuk figura politik itu. Pada Rabu, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pelantikan Khairy sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya. "Tahniah dan selamat datang ke JDT. Kelab Bolasepak JDT ingin mengucapkan selamat datang dan tahniah kepada Khairy Jamaluddin atas pelantikan beliau sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pengarah JDT selepas diumumkan oleh pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. "JDT turut mengucapkan tahniah kepada Khairy atas pelantikan beliau sebagai Penasihat Belia Johor. Luaskan Kuasamu Johor," umum Instagram rasmi JDT pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Puas tidur akhirnya KJ mula tugas sebagai penyampai Hot FM, tak sangka pandai melawak Pengumuman itu turut dihujani dengan pelbagai komen netizen yang rata-ratanya gembira dan mengucapkan selamat maju jaya buat Khairy. "Satu pintu rezeki ditutup manusia yang dengki. Sepuluh pintu rezeki Allah buka. Alhamdulillah. "Wow lain macam aura kali ini. Tahniah KJ. "Habis semua job dia sapu," tulis beberapa netizen. Khairy juga baru sahaja memulakan tugas sebagai penyampai radio di stesen Hot FM untuk segmen Bekpes Hot. Dalam pada itu, Khairy dalam kenyataan di Facebook miliknya turut menzahirkan rasa teruja dengan pelantikan tersebut demi kecemerlangan berterusan JDT dan pemerkasaan belia Johor. "Saya amat teruja untuk menyertai kelab JDT FC yang merupakan kelab bola sepak terbesar di Asia Tenggara serta mempamerkan prestasi yang cemerlang pada setiap musim perlawanan. "Saya akan menyumbangkan sedikit pengalaman yang ada pada saya untuk membantu DYAM Tunku Mahkota Johor dalam visi Tuanku untuk menjadikan JDT FC kelab bolasepak paling unggul di benua Asia. "Di samping itu, saya juga akan membantu merealisasikan hasrat DYAM Tunku Mahkota Johor dalam memperkasakan belia Bangsa Johor melalui pendidikan, latihan, keusahawanan, kebajikan dan juga memberi perlindungan yang sewajarnya kepada remaja dan kanak- kanak. "Insya’Allah saya akan membalas kepercayaan ini dengan usaha yang bersungguh-sungguh demi kecemerlangan berterusan JDT FC dan pemerkasaan belia Johor," ujar Khairy lagi. Selain amanah terbaharu bersama pasukan JDT, Khairy juga baru sahaja memulakan tugas sebagai penyampai radio di stesen Hot FM untuk segmen Bekpes Hot bersama AG, Johan dan Fara Fauzana, pada Rabu pagi. Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Rembau itu baru sahaja dipecat daripada Umno, disebabkan pelanggaran disiplin parti mengikut Perlembagaan Umno kerana kesalahan semasa PRU15. Menerusi PRU15 pada November tahun lepas, Khairy yang bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh namun tewas kepada wakil Pakatan Harapan (PH), Datuk R Ramanan dengan majoriti 2,693 undi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube