suria

PSG gantung Messi dua minggu gara-gara ‘terbang’ ke Arab Saudi tanpa kebenaran

Messi digantung selama dua minggu oleh PSG. Foto: Getty Images

PARIS Saint-Germain (PSG) telah menggantung Lionel Messi selama dua minggu selepas bintang Argentina itu melakukan perjalanan tanpa kebenaran ke Arab Saudi atas urusan peribadi, menurut sumber kelab.

Sumber itu berkata Messi terlepas sesi latihan pada Isnin untuk menghadiri acara promosi di luar Perancis.

Menguatkan dakwaan tersebut, Menteri Pelancongan untuk Arab Saudi, Ahmed Al Khateeb memuat naik gambar Messi yang tidak bertarikh, sedang bersantai bersama keluarganya.

"Saya gembira mengalu-alukan Messi dan keluarganya ke Saudi untuk menikmati destinasi pelancongan yang ajaib dan pengalaman asli.

"Kami mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia untuk mengalami perjalanan unik ke Arab Saudi dan nikmati layanannya," demikian ciapan Ahmed di Twitter mengiringi gambar berkenaan.

Messi sendiri membuat hantaran di Instagram empat hari lalu untuk mempromosikan pelancongan Arab Saudi.

"Siapa sangka Saudi mempunyai begitu banyak kawasan hijau? Saya suka meneroka keajaiban yang tidak dijangka selagi boleh melakukannya," demikian kapsyen pada gambar terbaharunya diiringi tanda pagar #visitsaudi.

Kontrak Messi dengan PSG akan tamat pada 30 Jun 2023.

Lawatannya ke Arab Saudi dilaporkan berlaku di tengah-tengah pelbagai spekulasi bertebaran bahawa pemain berusia 35 tahun itu tidak akan kekal di kelab Paris tersebut. - CNN

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan