suria

Mampu kalahkan pelari separuh usianya, nenek 83 tahun mahu sertai maraton Olimpik

Barbara memiliki lebih puluhan medal acara maraton pernah disertai sebelum ini. Foto: Reuters

USIA bukan penghalang.

Walaupun kini berusia 83 tahun, Barbara Humbert mengimpikan untuk mengambil bahagian dalam 'Marathon For All' iaitu perlumbaan pembukaan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024 kepada pelumba bukan elit untuk kali pertama.

Malah, dia sebenarnya memiliki kemampuan untuk mengalahkan pelari yang berusia separuh lebih muda daripadanya.

Bukan itu sahaja, wanita Perancis kelahiran Jerman itu berlari kira-kira 50 kilometer (km) seminggu dan telah menyertai puluhan maraton dan memiliki pingat sebagai bukti.

"Satu perkara yang luar biasa apabila Olimpik diadakan di Paris.

"Ia akan menjadi hadiah sebagai acara maraton ke-60 bagi saya. Ia akan melengkapkan pencapaian saya," kata Barbara ketika ditemui di kediamannya di Eaubonne, Paris.

Penyertaannya belum dapat dipastikan kerana nombor untuk larian dihadkan kepada 20,024 peserta yang dipilih secara rawak.

Suaminya, Jacques, adalah penyokong kuatnya dan sentiasa membantu setakat yang mampu dan menunggu jawapan daripada kementerian sukan mengenai permintaan untuk mendapatkan nombor larian bagi isterinya.

Namun, kementerian berkenaan gagal dihubungi untuk mendapatkan maklum balas.

Puluhan pingat maraton tergantung di kawasan depan rumah mereka mengingatkan Barbara kepada semua kejohanan disertainya dari Athens ke Boston dan sebagainya dengan membabitkan jarak larian lebih 8,000km.

Lebih 40 tahun selepas kali pertama bertanding, tahun lalu, Barbara memecahkan rekod dunia bagi kategorinya ketika kejohanan olahraga Perancis apabila menamatkan larian 125km dalam masa 24 jam.

Dia melakukannya kerana dua perkara iaitu berlatih dengan penuh disiplin dan cukup menjaga dalam diet.

"Ia akan memberikan keseimbangan. Apabila anda berlari, ia akan mengosongkan kepala, anda rasa lebih baik selepas itu,” katanya lagi. -REUTERS

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain