suria

Ronaldo sukar biasakan diri hidup di Arab Saudi, ini 2 sebabnya

Ronaldo dikhabarkan mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri di Arab Saudi.

BINTANG Al-Nassr, Cristiano Ronaldo mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri di Arab Saudi dan dilaporkan terdapat dua sebab perkara itu terjadi.

Menurut Sportskeeda, pemain Portugal itu tidak gembira dengan bahasa perantaraan yang digunakan, selain mendapati gaya hidup terlalu berbeza berbanding di Eropah.

Setelah Ronaldo meninggalkan Manchester United, dia menyertai Al-Nassr pada Disember lalu dengan persetujuan kontrak cukup menguntungkan.

Dia telah menghasilkan 12 gol untuk Al-Nassr dalam 13 penampilan liga, namun masih tidak berpuas hati dengan kehidupan di luar padang.

Pemain berusia 38 tahun itu tidak pernah bermain di luar Eropah sebelum ini, jadi perpindahan ke Asia Barat dianggap sebagai satu perubahan besar dalam kerjayanya.

Ronaldo juga dikhabarkan tidak kagum dengan budaya di sana kerana ‘sangat berbeza’ dengan gaya hidup asalnya.

Meskipun mampu bertutur dalam bahasa Inggeris, Sepanyol dan Portugis tetapi Ronaldo masih tidak biasa dengan bahasa Arab.

"Pemain itu bergelut untuk menyesuaikan diri di negara baharunya kerana terdapat halangan bahasa dan budaya yang sangat berbeza dari Eropah," lapor RMC Sport.

Arab Saudi, negara konservatif yang mengamalkan undang-undang Islam yang ketat, termasuk rakyatnya juga tidak menikmati kebebasan seperti di Eropah, yang boleh menjadi sebab di sebalik kekecewaannya.

Baru-baru ini, Ronaldo berdepan gesaan untuk dihantar pulang kerana menunjukkan isyarat lucah kepada peminat ketika berjalan ke terowong di stadium.

Ronaldo juga mungkin tidak dapat tinggal bersama Georgina Rodriguez lagi berikutan mereka belum berkahwin dan dilarang tinggal serumah.

Bagaimanapun, Arab Saudi melonggarkan undang-undang itu khas untuknya, dan mereka diberi kediaman di sebuah vila mewah di Riyadh.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain