TEMAN wanita kepada pemain bola sepak Brazil, Neymar, yang sedang sarat hamil, tampil meluahkan kekecewaannya berikutan video tular baru-baru ini. Penyerang berusia 31 tahun itu didakwa bersikap curang terhadap Bruna Biancardi selepas dia dirakam berparti dengan wanita tidak dikenali di sebuah kelab malam di Sepanyol. Menurut portal Dailymail, perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran dibuat di Instagram pada Rabu. 'Saya sedar apa yang berlaku dan sekali lagi saya kecewa tetapi pada peringkat akhir kehamilan saya, tumpuan dan kebimbangan saya hanya kepada anak perempuan saya. "Itu sahaja yang akan saya fikirkan buat masa ini. Saya berterima kasih kepada anda semua atas mesej cinta (ucapan)," katanya. Biancardi bakal melahirkan anak keduanya dalam masa lebih kurang sebulan. Sebelum ini, Neymar dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada teman wanitanya berhubung dakwaannya bersikap curang. Malah, dia menggunakan media sosial untuk menyelamatkan hubungan mereka. Neymar yang mewakili negaranya sebanyak 126 kali, baru-baru ini menamatkan kontrak selama enam tahun dengan Paris Saint Germain. Dia kemudian menandatangani kontrak lumayan dengan kelab Arab Saudi, Al Hilal, dipercayai bernilai £2.5 juta (RM14.4 juta) seminggu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube