MUSIBAH yang bertimpa-timpa! Begitulah ungkapan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan 'mengaibkan' untuk Chelsea, sebuah kelab yang dahulunya gah di Liga Perdana Inggeris. Jurulatihnya, Mauricio Pochettino mengakui Chelsea yang bergelut perlu bangkit selepas musim bermasalah mereka dijejaskan lagi dengan kekalahan 1-0 menentang Aston Villa lewat malam kelmarin. Anak buah Pochettino hanya menang sekali dalam enam perlawanan liga di bawah kendaliannya selepas gol Ollie Watkins pada babak kedua memastikan tiga mata buat Villa di Stamford Bridge. The Blues terdampar di tangga ke-14, hanya empat mata di atas zon penyingkiran, selepas gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka. Kekecewaan terbaharu Chelsea tercetus apabila pemain pertahanan Malo Gusto dibuang padang selepas 58 minit kerana terjahan keras ke atas Lucas Digne. Menambah duka Pochettino, penyerang Chelsea, Nicolas Jackson, yang menyumbat hanya satu gol sejak berpindah dari Villarreal, dilayangkan kad kuning kelimanya, sekali gus akan menjalani penggantungan satu perlawanan. Pochettino enggan mengkritik pegawai perlawanan sebaliknya berkata beliau dan pemainnya harus dipersalahkan susulan kekalahan terkini Chelsea. "Ia tanggungjawab kami dan pemain. Kami tidak boleh menyalahkan VAR atau pengadil," kata Pochettino. - football.london Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube