PENGURUS Argentina, Lionel Scaloni membuat pengakuan yang mengejutkan di mana dia sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan kedudukannya selepas pasukannya mencapai kejayaan yang jarang berlaku untuk menewaskan Brazil di Rio de Janeiro pada Rabu. Scaloni berkata demikian ketika sidang akhbar di Maracanã, selepas Argentina menewaskan Brazil 1-0 untuk kekal mendahului pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 bagi zon Amerika Selatan. "Argentina memerlukan jurulatih yang mempunyai banyak tenaga dan sihat. Saya perlu berhenti dan mula berfikir, saya mempunyai banyak perkara untuk difikirkan pada masa ini," kata Scaloni, yang tidak menjawab sebarang soalan dalam ucapan pembukaannya. "Pemain ini sudah banyak menyumbang kepada staf kejurulatihan dan saya perlu memikirkan mengenai apa yang akan saya lakukan. "Ia bukannya ucapan selamat tinggal atau apa-apa, tetapi saya perlu berfikir kerana harapannya terlalu tinggi dan rumit untuk meneruskan serta sukar untuk berterusan mencatat kemenangan. "Pemain ini menjadikannya lebih sukar, jadi saya perlu memikirkan mengenainya. Saya akan bercakap dengan presiden FA dan pemain selepas ini," katanya. Scaloni, 45, mengambil alih sebagai pengurus pada tahun 2018 dan mengemudi kejayaan Argentina menjuarai Copa America pada 2021, trofi pertama mereka sejak Piala Dunia 1986, sebelum La Albiceleste merangkul kejuaraan dunia ketiga di Qatar tahun lalu. -Theguardian Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube