JANGAN cepat menuduh atau menghakimi seseorang tanpa mengetahui perkara sebenar. Begitulah apa yang perlu dilalui si cilik berbakat besar dalam arena bola sepak, Muhammad Arif Mohd Radzuan, 11, yang namanya tercalar gara-gara menjadi mangsa gurauan 'kasar' sesetengah netizen. Segalanya bermula apabila video Arif ditemuramah selepas satu perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa di Singapura yang dimuat naik ke akaun TikTok rasmi Harimau Malaya tular. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Menerusi video tersebut, kelihatan Arif mengalami sedikit kesukaran untuk bercakap serta beberapa kali mengemam bibirnya. Perlakuan tersebut mendorong segelintir warga maya pantas membuat andaian sendiri tanpa mengetahui punca Arif bertutur sebegitu. "Saya rasa dia macam tengah 'naik' la. Kenapa cara borak 'kacip'. Ada ambil bahan terlarang ke untuk main bola sepak?" demikian antara komen netizen yang bermulut lancang. ARTIKEL BERKAITAN: Dendam diejek, guru santau rakan di IPT! Tahu perkembangan mangsa melalui grup WhatsApp kelas - “Aku gembira dia derita” ARTIKEL BERKAITAN: “Bergosip biar ingat mati” - Wanita tegur 3 makcik, bengang diejek ‘kuat makan’ gara-gara nampak 2 pinggan lauk atas meja Enggan membiarkan anak terus dijadikan bahan jenaka melampau, bapa Arif yang hanya mahu dikenali sebagai Radzuan, 38, tampil menjelaskan situasi sebenar. "Temu ramah tu adalah selepas anak saya dan pasukannya dinobatkan naib juara dalam saingan JSSL bawah 11 tahun (Akademi Profesional Antarabangsa Singapura). "Alhamdulillah Arif dianugerahkan pemain terbaik dalam saingan sama. Sebab itu Harimau Malaya memberikan sorotan kepadanya. Jadi mengapa ragam Arif sedikit pelik ketika temu ramah tersebut? "Jawapannya sebab Arif mengalami kecederaan di bahagian mulut yang berpunca daripada insiden ketika sesi pemanas badan (warm-up) sebelum perlawanan. Saya sedikit ralat apabila saya kena terangkan dekat anak benda yang belum sesuai untuk umurnya. Radzuan "Arif waktu tu sedang minum air di padang, tiba-tiba rakan sepasukannya yang berlatih di sebelah secara tak sengaja menyepak bola dan terkena botol yang Arif minum, sampai terkoyak sikit bibirnya," jelas Radzuan. Tambah Radzuan, anaknya sudah mendapatkan rawatan daripada ahli perubatan sebelum perlawanan bermula tetapi kesan luka masih belum pulih sebenarnya. "Apabila dah pulang ke Malaysia pun Arif masih terkemam-kemam bibirnya. Bila masuk sekolah, ramai juga kawan dan cikgu dia yang bertanya kenapa bibirnya macam tu. "Cuma jadi tak sedap apabila video temu ramah anak saya tu ditularkan dengan naratif yang salah. Rakan sepejabat saya pun ramai yang mengajukan soalan dan saya kena jelaskan satu-persatu. Arif mengalami kecederaan di bahagian mulut sebelum perlawanan bermula. "Saya sedikit ralat apabila saya kena terangkan dekat anak benda yang belum sesuai untuk umurnya, perkara-perkara orang dewasa seperti apa itu kacip? Apa itu mat pet? "Tapi akhirnya saya jelaskan juga kepada Arif maksud semua tu dengan cara saya sendiri, supaya dia tidak terpengaruh benda tidak sepatutnya," ujar Radzuan yang menetap di Presint 8, Putrajaya. MenurutRadzuan lagi, dia risau sekiranya insiden tersebut digunakan orang sekeliling untuk mengejek anaknya sekali gus memberi kesan terhadap emosi dan prestasinya. "Saya tak boleh terima kalau fokus anak saya kacau-bilau sebab gangguan remeh seperti ini. Cukup-cukuplah," kata Radzuan tegas. Antara pencapaian dalam bola sepak yang berjaya dirangkul Arif. Mengulas mengenai masa depan Arif yang kelihatan cerah prospeknya, Radzuan berkata dia mahu melihat anaknya bermain untuk pasukan kebangsaan dan kelab Johor Darul Ta'zim (JDT). "Pada mulanya seawal usia 6 tahun, si ibu yang mencungkil bakat terpendam Arif dalam bola sepak dan kemudian diasah oleh jurulatih Shah dan Mat di kelab bola sepak tabika KEMAS dan kelab AKAPUTRA. "Arif ketika di atas padang bermain dengan kedudukan nombor enam iaitu defensive midfielder atau kedudukan nombor lapan iaitu central midfielder. "Dia mengidolakan legenda bola sepak, Lionel Messi dan bintang Harimau Malaya, Arif Aiman. Saya sentiasa doakan yang terbaik untuknya," kata Radzuan menutup bicara. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube