suria

[V] “Saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu” - Faisal Halim rela gantung ‘boot’, tak mahu keluarga hidup dalam ketakutan

INSIDEN disimbah asid pada 5 Mei lalu menjadi antara detik paling gelap dalam kehidupan pemain bola Selangor FC, Faisal Halim.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkata dia turut terdetik untuk meninggalkan kerjaya itu kerana tidak mahu keselamatan diri dan keluarga menjadi pertaruhan.

"Saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu untuk berhenti main bola asalkan saya dan keluarga semua selamat. Saya tak kisah, saya sanggup hilang gaji berpuluh ribu.

"Saya cakap pada isteri, ayah, abang-abang saya... saya tak kisah. Saya nak balik kampung duduk tenang, saya boleh bekerja walau sehari (gaji) RM50 atau RM100.

"Janji keluarga saya selamat, saya tak perlu hidup dalam ketakutan sebab apa yang berlaku pada saya satu benda luar jangkaan dan saya tak boleh terima. Keluarga saya semua dalam ketakutan," ujarnya.

f5

Doa orang ramai memberi semangat kepada Faisal untuk terus berjuang.

Faisal berkata demikian ketika membuat kemunculan pertama selepas insiden ngeri disimbah asid menerusi sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis petang.

Bagaimanapun, Faisal berkata sokongan yang diberikan rakyat Malaysia serta Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar membuatkan dia kembali bersemangat untuk terus berjuang.

"Apa yang (memberikan) semangat dan apa yang Datuk (Shahril) janjikan kepada saya, dia kata... Mickey saya tahu awak mampu teruskan, saya jaminkan keselamatan awak dan keluarga awak.

ARTIKEL BERKAITAN: Faisal Halim cedera disimbah asid di litar go-kart dalam pusat beli-belah

"Dan orang ramai juga buat saya bersemangat teruskan kerjaya saya," ujarnya sambil mengesat air mata.

Tegas Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan itu, dia kini begitu bersemangat untuk menjalani proses pemulihan daripada segi fizikal dan emosi untuk kembali beraksi di padang.

Untuk rekod, mStar pada 5 Jun melaporkan pemain sayap kebangsaan itu disimbah asid ketika berada di ruang parkir sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.

Serangan berkenaan menyebabkan Faisal terpaksa menjalani empat pembedahan untuk merawat luka lecurnya.

Dia dibenarkan discaj daripada hospital pada 25 Mei lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain