MENGAKUI masih bergelut untuk pulih sepenuhnya selepas insiden disimbah asid, namun pemain Selangor FC, Faisal Halim menaruh harapan yang tinggi agar dia dapat kembali beraksi di padang. Menerusi sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC pada Khamis petang, Faisal berkata dia sedang berusaha keras untuk kembali bermain bola walaupun jangka masa pulih sepenuhnya masih belum jelas. "Keadaan sekarang saya belum tahu sama ada boleh kembali atas padang atau tidak, tapi harapnya karier saya tidak tamat di sini. Itu harapan terbesar saya sebagai seorang Faisal Halim dan saya minta orang ramai untuk turut mendoakan saya. Insiden serangan asid yang menimpa Faisal Halim menggemparkan negara. "Bukan mudah terlantar di rumah tengok Selangor dan Harimau Malaya bermain menerusi televisyen, kaki saya ni dah menggigil, hati memang meronta untuk bermain. Tapi buat masa ni saya kena fokus rehabilitasi dan beberapa proses pemulihan yang lain. "Perkembangan saya boleh dikatakan positif, waktu tiga minggu dan 20 hari saya di hospital, nak makan dan pergi tandas sendiri pun tak mampu, keluarga kena tolong. Sekarang saya dah boleh buat senaman ringan seperti kayuh basikal. "Sampai Datuk Shahril (Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor) pun cakap, biar betul kamu ni Mickey! Harapnya dalam masa sebulan selepas ni kelibat saya dapat dilihat semula atas padang," kata Faisal dengan wajah yang sugul dan penuh luka berbirat. Bercerita lanjut, Faisal atau mesra disapa Mickey berkata pada minggu awal selepas diserang, semangatnya hampir patah kerana memikirkan keselamatan keluarganya yang berkemungkinan diancam bahaya. Pasukan perubatan menganggarkan tiga bulan janga masa paling awal untuk Faisal Halim bermain semula. Bagaimanapun tambah Faisal, dia berazam untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa dan bermain bola. "Kalau fikirkan, sampai bila saya hendak menyorok dan berselindung, saya juga mahu menjalani kehidupan sepeti manusia biasa dan pemain lain. Saya bukanlan seseorang yang mudah mengalah, boleh tanya sendiri kelab Selangor FC. "Sepanjang karier saya tak pernah berehat lebih daripada sebulan. Kalau sakit seperti demam atau pening pun akan tetap ke padang, tak ambil sijil cuti sakit (MC)," ujar Faisal. Untuk rekod, pemain utama Selangor FC itu disimbah asid oleh penyerang yang belum dikenal pasti dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Selangor pada 5 Mei lalu. Faisal kemudiannya dibenarkan untuk keluar hospital pada 25 Mei bagi menjalani rawatan pemulihan dan rawatan psikologi di kediamannya yang tidak didedahkan lokasi atas faktor keselamatan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube