suria

“Harap polis buat kerja terbaik” - Faisal Halim dah lama tak dapat ‘update’ kes disimbah asid

Peguam mewakili Faisal iaitu Hajjan Omar akan menulis surat kepada polis dalam masa terdekat.

KEADILAN ke atas pemain kebangsaan, Faisal Halim berhubung kes serangan asid pada 5 Mei lalu sering dinanti-nantikan orang ramai.

Selaku mangsa, Faisal Halim menerusi satu sidang media pada petang Khamis berkata dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya berharap pihak polis buat kerja yang terbaik. Saya serahkan sepenuhnya kepada pihak polis," kata Faisal yakin.

Dalam pada itu, Faisal Halim turut mendedahkan kali terakhir dia menerima perkembangan berhubung siasatan kes berkenaan daripada pihak polis adalah ketika sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Pada minggu pertama sahaja polis ada update tentang kes, selepas itu tiada apa-apa lagi," ujar Faisal ringkas.

Kecederaan serius dialami Faisal selepas disimbah asid oleh indvidu tidak dikenali.

Seterusnya peguam mewakili Faisal iaitu Hajjan Omar meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular memaparkan detik insiden.

"Bukan pihak kita untuk menjelaskan, itu semua di bawah ruang lingkup polis. Sama ada betul wujud percanggahan (kronologi) atau tidak, kita tak tahu. Biarkan polis buat siasatan jika ada yang akan didakwa atau ada kesalahan yang boleh dirangka.

"Kami (peguam) sebenarnya baru dilantik oleh Faisal sebab dia baru saja bersedia untuk keluar berhadapan dengan umum. Buat masa ni, kami sedang merangka tindakan yang perlu untuk berhubung dengan pihak polis bagi mendapatkan perkembangan lanjut mengenai kes.

"Kami akan memfailkan permohonon kepada pihak polis agar dapat dimaklumkan perkembangan terkini kes Faisal Halim. Ia seperti yang termaktub di bawah Seksyen 107A Kanun Prosedur Jenayah.

"Selain itu kami juga akan menulis secara rasmi kepada pihak polis, mereka diberikan masa dua minggu untuk berhubung semula dengan kami tentang kes. Kami akan melakukan apa yang termampu dalam bidang kuasa kami," jelas Hajjjan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain