PEMAIN beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menghidupkan harapan untuk mara ke suku akhir Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mencatatkan kemenangan mengejutkan ke atas bekas juara dunia dua kali, Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun. Pearly-Thinaah memerlukan kemenangan selepas tewas tipis kepada pemain China, Chen Qingchen-Jia Yifan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, dan bangkit menewaskan pasangan ke-6 dunia Matsumoto-Nagahara dengan 18-21, 21-15, 21-16. Dalam perlawanan di Adidas Arena di Port de la Chapelle pada Ahad, gandingan ranking ke-13 dunia itu mendahului 11-7 pada set pertama tetapi pasangan Jepun itu bangkit untuk merampas kemenangan. Pearly-Thinaah bagaimanapun enggan berputus asa dan bermain dengan cemerlang untuk memenangi dua set seterusnya untuk kekal bertahan dalam perlawanan itu. Pasangan itu seterusnya akan berdepan pemain ranking ke-9 dunia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramadhanti dari Indonesia pada Selasa dan memerlukan satu lagi kemenangan untuk mengesahkan slot ke suku akhir. Mengikut format pertandingan, juara dan naib juara kumpulan dalam acara beregu layak ke peringkat suku akhir. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube