suria

Petinju Itali tarik diri, akui sakit terkena tumbukan lawan... Gelanggang tinju wanita Olimpik Paris 2024 dicemari kontroversi

Carini menangis sambil ditenangkan lawannya, Khelif.

"TIDAK pernah merasakan tumbukan seperti ini".

Demikian luahan peninju Itali berikutan kesakitan yang dialami di bahagian hidungnya selepas menentang lawan yang sebelum ini gagal dalam ujian kelayakan jantina.

Susulan itu, Angela Carini berhenti daripada pertarungan kategori 66kg menentang Imane Khelif dan menamatkan impiannya di Sukan Olimpik selepas memberi isyarat dia tidak dapat meneruskan perlawanan kerana kesakitan yang dialami.

Menerusi pertarungan pada Khamis, Khelif mendaratkan beberapa pukulan termasuk tumbukan besar ke muka Carini, sebelum peninju Itali itu pergi ke sudutnya dan menarik diri daripada perlawanan.

Carini juga tidak berjabat tangan dengan Khelif dan digambarkan dalam limpahan air mata selepas itu.

Atlet Itali itu kemudiannya berkata dia berhenti kerana hidungnya berasa terlampau sakit dan menegaskan dia tidak membuat kenyataan politik dan enggan melawan Khelif.

"Saya di sini bukan untuk menilai atau membuat keputusan. Saya patah hati. Saya pergi ke gelanggang untuk menghormati bapa saya.

"Saya sering diberitahu bahawa saya seorang pahlawan, tetapi saya memilih untuk berhenti demi kesihatan... saya tidak pernah merasai tumbukan seperti ini," luahnya.

Mengimbau pengalaman bertahun-tahun dalam gelanggang dan sepanjang hayat bertarung, Carini mengakui tumbukan daripada Khelif memberi kesan kepada kesihatan tubuhnya.

Kemenangan Khelif bermakna dia mara ke suku akhir.

Pertembungan yang hanya berlangsung selama 46 saat, itu turut dicemari kontroversi berkaitan kemasukan Khelif.

Petinju Algeria itu adalah salah seorang daripada dua atlet yang dibenarkan bertanding dalam tinju wanita di Paris walaupun telah hilang kelayakan daripada kejohanan dunia di Delhi, India tahun lalu kerana gagal memenuhi kriteria kelayakan jantina.

Untuk rekod, Khelif bersama pemain Taiwan Lin Yu-ting hilang kelayakan di peringkat dunia selepas Persatuan Tinju Antarabangsa (IBA) berkata ujian mendapati "kedua-dua atlet tidak memenuhi kriteria kelayakan yang diperlukan".

IBA berkata petinju "tidak menjalani pemeriksaan testosteron tetapi tertakluk kepada ujian berasingan dan diiktiraf, di mana butirannya kekal sulit". - Skynews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain