suria

Carini minta maaf tak salam Khelif, sedia beradu dalam pertarungan lain

Carini membuat permohonan maaf kepada Imane Khelif. -Foto Reuters/Isabel Infantes

PETINJU Itali, Angela Carini memohon maaf kepada lawannya, Imane Khelif susulan tindakannya mencetuskan kontroversi dengan meninggalkan gelanggang pertarungan di temasya Olimpik Paris 2024.

Dilaporkan Carini melahirkan rasa kesal terhadap atlet Algeria itu kerana kegagalannya mengawal emosi selain mempertikaikan isu jantina pihak lawan.

"Semua kontroversi ini membuatkan saya sedih. Saya minta maaf untuk lawan (Khelif) saya juga. Jika Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) maklumkan boleh bertanding, saya menghormati keputusan itu.

"Ia bukan sesuatu yang saya ingin lakukan. Sebenarnya, saya ingin meminta maaf kepadanya dan orang lain. Saya marah kerana Olimpik saya tidak berjalan dengan baik," katanya.

Tambah Carini, dia sedia berdepan Khelif sekiranya bertembung dalam mana-mana pertandingan selepas ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Petinju Itali tarik diri, akui sakit terkena tumbukan lawan... Gelanggang tinju wanita Olimpik Paris 2024 dicemari kontroversi

Sebelum ini Carini menarik diri daripada meneruskan perlawanan selepas tidak tahan menerima tumbukan bertubi-tubi dalam tempoh 46 saat menerusi pertarungan kategori 66 kilogram di temasya berkenaan.

Carini juga enggan bersalam dengan Khelif selepas memutuskan untuk tidak meneruskan pertarungan.

Untuk makluman, Khelif adalah salah seorang daripada dua atlet dibenarkan bertanding dalam tinju wanita di Paris, walaupun telah hilang kelayakan daripada Kejohanan Dunia Wanita di Delhi, India tahun lalu kerana gagal memenuhi kriteria kelayakan.

Namun, Khelif sentiasa bertanding dalam kategori wanita dan diiktiraf oleh jurucakap IOC, Mark Adams sebagai atlet wanita.

Kontroversi penyertaan atlet berusia 25 tahun dalam temasya berkenaan mendorong IOC mempertahankan haknya untuk bertanding.

"Petinju Algeria itu dilahirkan dan didaftarkan sebagai wanita. Dia menjalani hidupnya sebagai wanita, bertanding sebagai wanita dan mempunyai pasport wanita," katanya. -AGENSI

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain