PEMAIN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus melangkah dengan lebih baik apabila mara ke suku akhir di Sukan Olimpik Paris 2024. Aksi cemerlang Zii Jia berjaya menundukkan pemain dari Denmark, Anders Antonsen dengan kemenangan straight set 21-17, 21-15 pada aksi suku akhir di Porte de La Chapelle Arena, Paris, awal pagi Sabtu. Mengenai kemenangannya, pemain ranking ketujuh dunia itu mengakui gembira dapat menempah slot ke peringkat separuh akhir. "Sudah tentu saya sangat gembira untuk masuk ke separuh akhir. Saya gembira tapi masih terlalu awal untuk meraikannya sebab masih ada perlawanan lagi. "Saya kena sentiasa bersedia," kata Zii Jia kepada pemberita, memetik Astro Arena. ARTIKEL BERKAITAN: Zii Jia sahkan tiket ke suku akhir, singkir wakil tuan rumah "Mungkin saya lebih tenang nampaknya. Saya dapat rasakan Anders ada kemahuan nak menang, dia sangat agresif. Dia adalah Anders yang berbeza dengan yang saya bertemu sebelum ini. "Inilah Olimpik, semuanya boleh berlaku," ujarnya. Pada masa sama, Zii Jia menyifatkan pihak lawannya di peringkat separuh akhir lebih memberi saingan sengit. "Sudah tentu ia menjadi perlawanan yang sukar," katanya lagi. Zii Jia bakal bertemu dengan pemain dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn di peringkat separuh akhir, pada Ahad ini. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube