suria

Bahagia berganda! Pemain China dilamar kekasih selepas rangkul pingat emas

Huang Yaqiong menangis selepas dilamar kekasihnya, Liu Yuchen sejurus meraih pingat emas acara beregu campuran. -Foto Getty Images

PEMAIN China, Huang Yaqiong yang berjaya merangkul pingat emas bagi acara badminton beregu campuran pada Sukan Olimpik Paris 2024, Jumaat malam, menerima kejutan apabila dia dilamar kekasihnya sejurus meraikan kemenangan.

Terdahulu, Huang bersama gandingannya Zheng Siwei meraih pingat emas pertama sukan itu selepas mereka menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Jeong Na Eun 21-8, 21-11 dalam aksi di La Chapelle Arena.

Selepas menerima pingat, Huang dan Zheng kemudian turun dari podium untuk meraikan kejayaan mereka dengan penyokong di luar gelanggang.

Bagaimanapun Huang dikejutkan dengan kemunculan teman lelakinya, Liu Yuchen, yang memegang sejambak bunga untuk dihadiahkan sempena kemenangannya.

Selepas menyerahkan Huang sejambak bunga, Yuchen mengeluarkan cincin dan melutut di hadapan Huang, sekali gus mendapat tepukan gemuruh daripada penyokong China yang menyaksikan babak romantik pasangan tersebut.

"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya kerana terlalu gembira," kata Huang, yang menangis sambil menganggukkan kepala selepas menerima lamaran kekasihnya.

"Saya memberi fokus kepada latihan untuk bergelar juara Olimpik dan dikejutkan pula dengan cincin pertunangan. Saya tidak pernah menjangkakannya," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain