suria

Pelari maraton Olimpik Paris maut dibakar teman lelaki... Luka kebakaran lebih 75 peratus

Rebecca Cheptegei maut selepas dibakar teman lelakinya. -Gambar X

PELARI maraton Uganda, Rebecca Cheptegei, meninggal dunia empat hari selepas disiram petrol dan dibakar teman lelakinya di Kenya.

Cheptegei, 33, yang bertanding di Olimpik Paris, mengalami luka kebakaran lebih 75 peratus dalam serangan pada 1 September lalu.

Kematian itu menjadikannya atlet wanita ketiga dibunuh di Kenya sejak Oktober 2021.

“Kami menerima berita sedih tentang pemergian atlet Olimpik kami, Rebecca Cheptegei... berikutan serangan kejam oleh teman lelakinya,” kata Donald Rukare, Presiden Jawatankuasa Olimpik Uganda, dalam satu hantaran di laman X.

“Semoga rohnya tenang di sana dan kami dengan tegas mengecam keganasan terhadap wanita,” tambahnya.

Pelari yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-44 Olimpik Paris itu dimasukkan ke hospital di bandar Eldoret, Rift Valley, Kenya selepas serangan tersebut.

Belum jelas sama ada penyerangnya adalah pasangan semasa atau bekas teman lelaki.

Akhbar tempatan melaporkan penyerang Cheptegei juga mengalami kecederaan dalam insiden tersebut dan dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan luka bakar sebanyak 30 peritus.

Hampir 34 peratus gadis dan wanita Kenya berumur 15 hingga 49 tahun mengalami keganasan fizikal, menurut data kerajaan sejak 2022, dengan wanita yang sudah berkahwin berisiko tinggi.

Pada Oktober 2021, pelari Olimpik Agnes Tirop, ditemui mati di rumahnya dengan luka tikaman di leher.

Suaminya, Ibrahim Rotich, didakwa dan mengaku tidak bersalah. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain