SELEPAS tidak dapat pulang menemani isteri bersalin gara-gara tunggakan gaji, pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Milos Gordic akhirnya mengukir senyuman apabila selamat kembali ke Serbia kira-kira dua minggu lalu. Jika sebelum ini pemain berusia 32 tahun itu hanya mampu melihat anak sulungnya itu di skrin telefon pintar, kini dia bukan sekadar dapat bertentang mata malah turut dapat memeluk bayi perempuannya itu. Kegembiraan jelas terpancar di wajah Gordic, yang berkongsi gambar bersama anaknya yang kini mencecah usia sebulan di Instagram Story. Milos Gordic tidak dapat pulang menemani isterinya ketika bersalin kerana masalah tunggakan gaji. Di Instagram, dia berkongsi gambar perkembangan terkini anaknya dengan wajahnya disembunyikan. "Sebulan menyayangi kamu," Gordic menulis keterangan ringkas. ARTIKEL BERKAITAN: Masalah tunggakan gaji, pemain KDA FC tak dapat terbang pulang... Hanya mampu tatap wajah bayi sulung di telefon Sementara itu, menurut kenalan Gordic ketika dihubungi mStar, pemain penyerang itu dapat pulang ke kampung halaman untuk bertemu anak dan isteri, Angela selepas dia mula menerima gaji sekitar akhir bulan lalu. "Ya dia pulang selepas menerima gaji tetapi gaji itu tidaklah sepenuhnya kerana masih ada beberapa tunggakan dengan bayaran dibayar secara berperingkat. "Pengurusan memberi bayaran sedikit lebih kepada Gordic bagi dia dapat pulang bertemu isteri dan anaknya," katanya yang enggan mendedahkan identiti. Sebulan menyayangi kamu. MILOS GORDIC Sebelum ini, mStar melaporkan pemain import KDA FC itu hanya mampu menatap wajah anak perempuannya yang dilahirkan pada 15 Oktober lalu menerusi telefon. Situasi ini timbul susulan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu hingga mengakibatkan pemain penyerang berkenaan tidak dapat pulang ke Serbia. Perkara itu didedahkan penyokong KDA FC, Hazriq Fahimy Abdullah menerusi perkongsian gambar di Facebook peminat, menunjukkan kain rentang ucapan tahniah kerana sudah bergelar bapa. Hazriq (kanan) menaikkan kain rentang ucapan tahniah kepada Milos. - Foto HkaG.MY "Sahabatku sekalian, dia ni (Milos), di saat isterinya memerlukan dia di sisi, di saat zuriatnya sendiri baru keluar ke dunia ini, dia tak dapat nak bersama-sama di sisi insan tersayang dia sebagaimana insan lain mahukan. "Manakan tidak, hendak terbang pulang pun tak punya wang. Berbulan-bulan tak dapat pulang, tak dapat gaji dan hanya mampu memendam perasaan dari dalam, betapa Allah yang Maha Mengetahui kepiluan itu andai kita pula di tempat dia. "Walaupun kita berbeza agama, bangsa dan negara, di sudut hatiku amat berasa sedih dan simpati yang amat sangat pada dia atas nama kemanusiaan," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube