BUKIT Aman tidak pernah berhenti menyiasat serangan menyimbah asid ke atas pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara pada Mei, kata Tan Sri Razarudin Husain. Ketua Polis Negara berkata polis telah menahan tiga suspek dan merekodkan keterangan 23 yang lain bagi membantu siasatan sejak kejadian dilaporkan Mei lalu. “Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman telah menjalankan siasatan rapi namun tiada bukti yang boleh mengaitkan ketiga-tiga suspek. “Analisis forensik pada telefon bimbit (tiga suspek) juga tidak menghasilkan sebarang bukti atau perbualan bahawa mereka terlibat dalam serangan itu. “Malah, CID juga melakukan semakan ke atas akaun bank mereka tetapi tiada transaksi yang mencurigakan ditemui,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu. Razarudin berkata pemeriksaan pada nombor plat yang digunakan oleh penyerang mendedahkan bahawa ia adalah palsu. “Kita juga mengeluarkan photofit suspek untuk mendapatkan bantuan dan maklumat daripada orang ramai. "Kami tidak pernah berhenti menyiasat kes itu. Kami sentiasa berjaga-jaga untuk sebarang maklumat baharu," katanya. Razarudin turut menggesa mereka yang mempunyai maklumat supaya tampil memaklumkan pihak polis. Pada Khamis, ADUN Sungai Ramal Mohd Shafie Ngah telah bertanyakan tentang perkembangan kes membabitkan pasukan Red Giants. Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi menjawab, kerajaan Selangor masih belum menerima sebarang maklum balas daripada polis mengenai perkembangan siasatan kes membabitkan Faisal. “Setakat ini, kami masih tidak mengetahui status kes Faisal, dan maklumat terakhir yang kami terima ialah Speaker (Lau Weng San) telah menulis surat kepada polis memaklumkan usul yang telah dipersetujui sebulat suara pada sesi lepas,” jelasnya. Pada sidang DUN Selangor sebelum ini, usul tergempar bagi mengecam tindakan keganasan melampau terhadap atlet telah diluluskan sebulat suara oleh DUN Selangor yang antara lain meminta siasatan menyeluruh terhadap serangan itu dan penemuannya didedahkan kepada umum. Pada 5 Mei lalu, Faisal yang berusia 26 tahun melecur tahap empat di beberapa bahagian badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama lebih kurang 10 hari. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube