PENGURANGAN dana dalam e-sukan (e-sport) yang diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 pada Jumaat memberi tamparan hebat kepada pemain industri berkenaan. Mana tidaknya, negara telah menunjukkan prestasi yang baik di peringkat antarabangsa pada tahun lalu. Malah atlet e-sukan tempatan berjaya merangkul tiga pingat emas pada Kejohanan E-sport Komanwel di Birmingham, England, dan tiga pingat gangsa pada Sukan SEA di Hanoi, Vietnam sepanjang tahun ini. Mengakui kecewa dengan jumlah peruntukan yang diumumkan itu, Ketua Komunikasi Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Juwita Jalil bagaimanapun berharap agar atlet e-sukan dapat terus meningkatkan pencapaian diri. "Kami kecewa dengan bajet yang dikurangkan walaupun pencapaian yang telah kami capai di peringkat antarabangsa. Kami berharap akan ada peningkatan kerana atlet e-sport kami telah membuktikan diri mereka dari semasa ke semasa," katanya. Pengumuman peruntukan sebanyak RM13 juta itu yang dilihat lebih rendah berbanding tahun sebelumnya turut mendapat reaksi yang pelbagai. Bagi pemain terlibat, Muhammad Farouq Abdul Patah, dia kurang memberi tumpuan kepada jumlah itu dan bagaimana ia akan dibahagikan, namun ingin melihat lebih banyak usaha untuk memastikan peruntukan e-sukan dibelanjakan 'dengan betul dan telus'. "Jumlah itu tidak kira sekiranya bajet tidak digunakan untuk pembangunan e-sport di negara ini. Perlu ada pemahaman tentang perbezaan antara pembangunan e-sport dan penerbit permainan tempatan," tambahnya. Tambahnya, pihak berkepentingan e-sukan yang berkaitan harus mengadakan perbincangan terbuka untuk lebih memahami keperluan ekosistem e-sukan tempatan. Bagaimanapun Ketua Pegawai Eksekutif E-sports Integrated (ESI), Ahmed Faris Amir berkata, RM13 juta masih jumlah yang baik dalam usaha membangunkan e-sukan di negara ini. "Walaupun ia lebih rendah berbanding tahun-tahun sebelumnya, ia masih mencerminkan perhatian dan sokongan kerajaan terhadap industri e-sukan yang sentiasa berkembang," katanya. E-sukan sebelum ini diberikan RM15 juta di bawah Belanjawan 2021, RM20 juta dalam Belanjawan 2020 dan RM10 juta dalam Belanjawan 2019. - The Star Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI