UNIVERSITI Sunderland di England mengumumkan bakal menawarkan program Ijazah Pengurusan Acara Esports iaitu kursus berkaitan e-sukan mulai September 2023. Program tersebut akan menyediakan pelajar dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam penganjuran acara esports. Kursus tersebut memakan tempoh selama tiga atau empat tahun bagi peringkat kepujian. Menurut institusi tersebut, mereka bakal membelanjakan lebih £1 juta (RM5.25 juta) untuk mengubah bahagian kampusnya sebagai dedikasi terhadap ijazah dan sukan itu secara umum. Antara sebahagian daripada transformasi, pawagam di pusat media kampus akan disesuaikan dengan menayangkan acara dan permainan esports. Bercakap tentang program ijazah itu, Dekan (Undang-undang dan Pelancongan), Dr James Scott, mengulas bahawa pelajar akan meneroka dunia permainan kompetitif dan mempelajari tentang apa yang menjadikan acara esports berjaya. Universiti Sunderland menawarkan jurusan bagi pelajar berminat untuk belajar dalam bidang e-sukan. "Kursus ini akan menggunakan rakaman kuliah, bengkel dan sesi seminar, serta lawatan lapangan dan aktiviti lain. "Pada tahun pertama, pelajar akan belajar tentang asas acara esport. Menjelang tahun ketiga pelajar akan didedahkan dengan topik seperti prestasi esport, pengurusan pasukan, media esport serta penciptaan kandungan (content)," ujarnya. Namun, mewujudkan kursus universiti dan kolej berkaitan e-sukan bukanlah perkara baharu. Confetti Institute of Creative Technologies, University of Warwick, dan juga organisasi esports Guild Esports juga pernah menguruskan ijazah esport. Malah, terdapat banyak institusi pendidikan tinggi lain di UK melakukan perkara yang sama. - Esport Insider Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube