suria

KPT pilih APU sebagai penyelaras Pusat Sukan Tumpuan untuk e-Sport

APU mewujudkan persekitaran yang menyokong dan kondusif untuk pelajar yang berminat dengan bidang tersebut.

INSTITUSI Teknologi Digital Perdana, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) dipilih sebagai ‘penyelaras pusat sukan tumpuan e-Sukan’ pertama di bawah Seksyen Sukan, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) itu dipilih sebagai penyelaras pusat sukan tumpuan (PST) untuk e-Sukan dari 2023 hingga 2025, dengan dana sebanyak RM100,000 untuk 2023 selepas KPT menilai permohonan mereka.

Menurut Timbalan Setiausaha Bahagian Sukan, KPT, Datuk Dr Pekan Ramli, liga e-Sukan kini menjadi acara global yang semakin berkembang dan KPT mahu membawa nafas baharu khusus buat peminat di Malaysia melalui pemilihan APU sebagai penyelaras pusat sukan tumpuan e-Sukan di bawah sayapnya.

“Kami gembira menerima APU pada saat penting ini ke dalam program pembangunan kami. Kepakaran APU dalam transformasi digital dan penyeliaan strategik akan membantu atlet e-Sukan Malaysia meningkatkan kemahiran profesional mereka seperti pemikiran kritis, ketabahan, kerja berpasukan dan membuat keputusan terbaik.

“Sementara itu, APU juga akan menyampaikan pendidikan e-Sukan holistik yang merangkumi kedua-dua kursus berasaskan permainan dan industri untuk memupuk profesional e-Sukan bertaraf global untuk memenuhi semua spektrum ekosistem e-Sukan,” katanya semasa lawatan rasmi ke kampus APU di Bukit Jalil, Kuala Lumpur baru-baru ini.

file7brmlrwfkqc19wxxwgaf

APU menawarkan beberapa kursus yang memberi impak kepada industri e-Sukan.

Dengan pengumuman ini, KPT bakal meningkatkan ekosistem e-Sukan dan permainan video di Malaysia dengan membuka peluang baharu buat peminat e-Sukan mengambil bahagian dalam pelbagai kejohanan e-Sukan, liga profesional, persidangan atau acara di bawah APU.

Untuk mengembangkan profesional e-Sukan di peringkat global, APU turut menawarkan pendidikan e-Sukan yang komprehensif yang kedua-duanya merupakan kursus berasaskan permainan dan diterajui oleh keperluan industri melalui eSports Lab.

Kemudahan canggih mereka, dilengkapi dengan komputer berprestasi tinggi seperti Alienware dan iMac, konsol permainan video, serta ruang latihan khusus buat pemain individu atau berkumpulan melatih dan mengatur strategi permainan sambil dibantu oleh jurulatih atau pakar daripada APU.

Dari segi kursus pengajian, APU menawarkan beberapa kursus yang secara tidak langsung memberi impak kepada industri e-Sukan seperti BSc (Hons) in Computer Games Development, BA (Hons) in Animation, BA (Hons) in Visual Effects, dan BSc (Hons) Multimedia Technology with a specialization in VR/AR.

Manakala Sijil e-Sukan yang ditawarkan di APU ialah Sijil Kemahiran Tahap 1, 2 & 3 dalam League of Legends (LOL), Defense of the Ancients 2 (DOTA2), dan Counter-Strike: Global Offensive (CS:GO).

Dengan penubuhan Kelab e-Sukan APU, pelajar atau pemain boleh menyertai dan bersaing dalam pelbagai acara dan liga e-Sukan dengan bantuan universiti dari segi latihan, kemudahan, peralatan, dan lain-lain.

Sebagai penyelaras pusat sukan tumpuan e-Sukan, APU juga boleh mewujudkan persekitaran yang menyokong dan kondusif untuk pelajar yang berminat dengan bidang tersebut, membolehkan mereka meneruskan minat mereka sambil memperoleh pendidikan berkualiti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

APU, e-sukan, e-sukan Malaysia, penyelaras, KPT

Artikel Lain