DUA gol hasil jaringan Cristiano Ronaldo pada aksi seri 3-3 dengan Hungary berjaya membawa Portugal ke pusingan kedua 16 pasukan. Kedua-dua pasukan ini berjaya melangkah ke pusingan kalah mati sebaik sahaja tamat aksi terakhir peringkat Kumpulan F di Stadium Lumieres awal pagi Khamis. Hungary membuka jaringan awal pada minit ke-22 menerusi Gera sebelum Nani menyamakan kedudukan minit ke-44. Aksi pada babak kedua penuh dramatik apabila kedua-dua pasukan berbalas gol selepas Balazs Dzudzsak menambah gol kedua Hungary. Tersentak dengan gol kedua lawan, skuad Fernando Santos mula mengasak dengan hantaran panjang serta memberi tindak balas dalam setiap serangan pemain-pemain Hungary. Pada minit ke-52, Ronaldo berjaya menjaringkan gol yang menarik untuk meletakkan skuadnya berada dalam keputusan seri. Hanya dua minit teruja meraikan jaringan kedua, anak buah Bernd Storck kembali meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-54. Pemain-pemain Portugal dilihat tertekan dengan gol ketiga lawan sekaligus terus bekerja keras melakukan percubaan ke arah gawang Hungary. Aksi sengit itu akhirnya meyaksikan Ronaldo berjaya meledak gol keduanya pada minit ke-63 untuk mengikat kedudukan seri 3-3 hingga ke wisel penamat. Portugal menamatkan saingan kumpulan di tempat ketiga hanya dengan tiga mata, manakala Hungary mengumpul lima mata sekaligus berada di tempat teratas. Hungary bakal berdepan dengan England di Nice pada aksi kalah mati selepas ini. SENARAI PEMAIN: Hungary - Kiraly, Korhut, Guzmics, Juhasz, Lang, Elek, Gera, Lovrencsics, Pinter, Dszsudzsak, Szalai. (simpanan) - Stieber, Nemeth, Bese. Portugal - Patricio, Eliseu, Carvalho, Pepe, Vieirinha, Carvalho,Gomes, Moutinho, Mario, Nani, Ronaldo (simpanan)- Renato, Danilo, Quaresma.