suria

Wan 'Komodo' si pencinta haiwan bakal akhiri karier skuasy

Foto kredit: Instagram Nafiizwan

CABARAN berliku dilaluinya semata-mata kerana mahu bergelar ahli sukan yang berjaya. Ia tidak datang bergolek, sebaliknya pelbagai pengorbanan perlu dilakukan pemain skuasy profesional, Mohd Nafiizwan Adnan.

Atlet yang mesra dengan panggilan Wan atau jolokan The Komodo ini berkongsi pengalaman turun naik sepanjang lebih kurang 22 tahun menghayun raket skuasy.

Jelas pemuda kelahiran Terengganu berusia 32 tahun ini, kariernya bakal menghampiri noktah.


"Bermula Jun 1997, saya mula kenal raket skuasy disebabkan pencari bakat yang juga jurulatih saya Allahyarham Ahmad Armiza Arshad mengajak saya dan abang mencuba bermain skuasy.

"Ketika itu kami masih aktif dalam sukan bola sepak mewakili sekolah. Namun saya ikut jejak abang untuk bermain acara ini.

"Bermula dari situlah minat saya kepada sukan skuasy semakin berkembang dan mewakili Terengganu dalam kejohanan remaja.

"Kali pertama mewakili negara saya mendapat nombor 4, namun kali kedua (1998) saya berjaya mendapat tempat kedua dan terpilih memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil.

"Di sekolah itu, saya lebih aktif dan fokus kepada sukan skuasy," kongsinya kepada mStar Online.

Kata Wan lagi, sepanjang kariernya ini, dia tidak terlepas daripada dugaan berat, lebih-lebih lagi berkaitan dengan keluarga.

"Pengalaman pahit dalam hidup saya apabila kehilangan dua abang kandung ketika saya tidak berada di sisi mereka. Sangat sedih dan kecewa namun saya tabahkan hati untuk meneruskan kehidupan ini.

"Pun begitu, dalam pahit ada manisnya. Kerjaya saya sebagai pemain profesional mencapai klimaks apabila tahun lalu saya berjaya memecah rekod menjadi pemain lelaki pertama negara yang memenangi pingat pada Sukan Komanwel sejak 20 tahun lalu. Ia sesuatu yang bermakna dalam hidup saya.

"Manakala satu lagi kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila menjuarai acara berpasukan pada Sukan Asia 2018," jelasnya yang memilih biru sebagai warna kegemaran.

Wan yang mendirikan rumah tangga pada 2013 bersama Aufa Dahlia Bahar memberitahu, bermula tahun ini dia kembali menetap di Malaysia.

Wan bersama isterinya Aufa Dahlia. Foto kredit: Instagram Nafiizwan.

"Sejak 2008 hingga 2012 saya menetap di London dan kemudiannya tinggal di Manchester dari 2015 hingga tahun lalu, banyak masa saya di luar negara kerana menjalani latihan.

"Untuk tahun ini, saya akan fokuskan karier mengikut perancangan yang ada. Tetapi mungkin dalam masa terdekat atau penghujung tahun saya bercadang untuk bersara sebagai pemain.

"Bersara sebagai pemain, tetapi saya akan teruskan minat saya dalam sukan ini sebagai jurulatih untuk berkongsi pengalaman, kemahiran dengan pemain-pemain lain. Banyak ilmu yang saya dapat dan ia sangat berguna," ujarnya.

Menurut Wan, walaupun lebih banyak tinggal di luar negara, dia tetap tidak lupakan makanan kegemarannya, nasi dagang dan ikan singgang. Berkongsi pandangan sebagai pemain senior dalam sukan negara, atlet negara ini memberi tip untuk menjadi ahli sukan berjaya.

Pingat emas Sukan Asia 2018.

"Bergelar pemain bukan mudah. Pemain-pemain skuasy harus mempunyai sifat ingin berjaya, ada komitmen dan untuk menjadi pemain profesional banyak perkara seperti di atas gelanggang, di luar gelanggang , fokus ketika latihan, menepati masa dan paling penting ikut arahan jurulatih.

"Saya ingin lihat pemain-pemain muda lebih berusaha dan bukan hanya selesa di tempat sedia ada.

"Banyak lagi impian saya yang belum tercapai sebenarnya. Antaranya ingin melihat pelapis yang akan menggalas tempat saya lebih ramai berbanding setakat ini yang hanya ada seorang atau dua," katanya.

Casper si jantung pengarang hati Wan. Foto: Instagram Nafiizwan.

Di gelanggang pemain tinggi lampai ini mungkin kelihatan garang, namun siapa sangka Wan juga seorang pencinta haiwan.

"Ya, ada seekor kucing yang diberi nama Casper. Sangat manja dan saya akan menghabiskan masa bermain dengannya jika bercuti," katanya.

Nafiizwan Adnan

Artikel Lain