MALU, rendah diri dan kecewa membuatkan hampir setengah tahun Muhamad Ashraf Muhammad Haisham hanya terkurung di rumah selepas kehilangan tangan kirinya. Insiden malang yang berlaku pada 2013 itu tidak akan dilupakan sampai bila-bila kerana ia membuatkan hidupnya berubah 360 darjah. Atlet para berusia 23 tahun ini mengimbas kembali perjalanan hidupanya selepas terbabas daripada motosikal yang ditunggangnya tujuh tahun lalu. Namun kini atlet kelahiran Perak ini sudah boleh tersenyum dan berasa bangga dengan diri sendiri selepas bangkit daripada kekecewaan. Aksi Ashraf ketika KL2017. "Kejadian malang itu menjadikan saya hilang arah selepas kehilangan sebelah tangan. Hampir setengah tahun saya tidak keluar rumah dan belajar sendiri. Hanya ke sekolah untuk mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Ketika itu, seribu satu perasaan timbul. Ada malu, segan, rendah diri, macam-macam. Mujurlah sokongan keluarga dan kawan-kawan yang menjadikan saya seperti hidup semula," ujarnya memulakan bicara bersama mStar Online. Jelas Ashraf, setahun selepas insiden tersebut, dia menyertai program atlet di Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjalani latihan olahraga. Jangan jadi macam saya, menyesal kemudian tiada gunanya walaupun ketika insiden saya terbabas seorang diri. Muhamad Ashraf Muhammad Haisham Atlet para "Saya memang aktif sebelum bergelar OKU (Orang Kelaianan Upaya) kerana mewakili Perak dalam Sukan Malaysia. Kelebihan itu membuatkan saya bangkit menyambung minat hingga mewakili negara. "Pada mulanya memang sukar untuk membiasakan diri kerana tak ada sebelah tangan, tapi lama kelamaan 'alah bisa tegal biasa'. "Semenjak berada di bawah program atlet para ini, motivasi diri semakin baik malah tidak ada lagi perasaan rendah diri atau malu dengan orang ramai. Dengan beberapa kejayaan di peringkat antarabangsa, ia memberi keyakinan kepada saya bahawa tidak ada perkara yang mustahil dalam hidup. "Segala kekurangan ini dijadikan kelebihan," ujar pemenang pingat emas acara 1500m T46 lelaki di Sukan Para Asean KL 2017 ini. Ashraf meraih pingat emas KL2017. Tambah anak ketiga daripada tujuh beradik ini, kekurangan dirinya ini bagaimanapun telah memadamkan hasrat untuk bergelar anggota beruniform. "Saya bercita-cita ingin jadi tentera laut. Namun hajat tidak kesampaian dan kini fokus untuk bergelar atlet yang lebih berjaya.Tahun ini saya akan fokus untuk layak ke Kejohanan Dunia Para Dunia pada November ini. "Sebagai persiapan, saya menjalani latihan seperti biasa dan turut menitik beratkan aspek pemakanan yang disediakan pengurusan MSN," katanya. Dalam masa sama, Ashraf turut berpesan kepada remaja-remaja agar berhati-hati menaiki motosikal. "Jangan jadi macam saya, menyesal kemudian tiada gunanya walaupun ketika insiden saya terbabas seorang diri," katanya yang meminati Valentino Rossi.