suria

Aidil Zafuan akui Aildilfitri kali ini teramat sayu - "Rindu ibu..."

Aidil Zafuan bersama isteri dan anak-anaknya beraya di Johor Bahru tahun ini. Foto kredit: Instagram Aidil.

JIKA sebelum ini, perasaan sedih berjauhan dengan keluarga pada Hari Raya Aidilfitri dapat diketepikan memandangkan lebih fokus memikul tugas mengharumkan nama negara di pentas sukan tanah air.

Sebaliknya, tahun ini sambutan 1 Syawal ternyata berbeza sekali kepada semua lapisan masyarakat berikutan penularan pandemik Covid-19.

Susulan itu, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, semua pihak tidak dibenarkan rentas negeri untuk pulang berhari raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dinobat Pelajar Terbaik, Roslinda akur beraya di perantauan selepas tamat pengajian di Jerman - "Hari-hari call kampung. Mak selalu tanya bila nak balik"

Situasi ini turut menyebabkan salah seorang atlet yang juga pemain bola sepak terkenal, Aidil Zafuan Abd Radzak sekeluarga tidak boleh pulang ke kampungnya di Seremban, Negeri Sembilan.

Rindu ibu

Pemain pertahanan Johor Darul Ta'zim (JDT) ini menyifatkan sambutan Syawal kali ini paling sayu untuk dia sekeluarga.

Namun, dia akur tidak dapat pulang ke kampungnya di Seremban bagi meraikan lebaran bersama ibu tersayang kerana mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan keluarga ketika negara dilanda wabak Covid-19 yang belum berakhir.



Aidil Zafuan dan kembarnya Zaquan Adha bersama ibu kesayangan mereka.

Menurut Aidil Zafuan, sambutan Aidilfitri di Johor Bahru mungkin tidak sama seperti tahun sebelumnya, tetapi bersyukur kerana isteri dan anak-anak ada bersamanya dalam tempoh PKPB ini.

“Persiapan raya kali ini sangat berbeza. Kebiasaannya memang saya balik kampung jumpa ibu dan ibu mertua saya, tetapi dengan keadaan wabak berbahaya sekarang ini, saya tidak mahu ambil risiko membahayakan kesihatan ahli keluarga yang lain.

“Saya pun ada anak-anak yang masih kecil dan di kampung ada ramai orang tua yang berisiko tinggi terkena jangkitan, jadi saya buat keputusan untuk beraya di sini sahaja walau sebenarnya rindu sangat hendak balik jumpa ibu, ” katanya.

Mahu Liga-M kembali bersambung

Mengulas mengenai perjalanan Liga Malaysia (Liga-M), seperti pemain lain, Aidil Zafuan juga menginginkan agar saingan kembali bersambung selain mengharapkan pandemik Covid-19 segera berakhir.

Berdasarkan format Liga-M yang diubah oleh MFL, pemain berusia 33 tahun ini menganggap keputusan meneruskan baki tujuh perlawanan pada September depan adalah sesuai dalam situasi ketika ini.



Aidil Zafuan berharap Liga Malaysia dapat disambung kembali. Foto kredit: Instagram Aidil Zafuan.

Katanya, semua pasukan memerlukan perlawanan kompetitif, lebih-lebih lagi skuad Harimau Malaya yang perlu bersedia untuk menghadapi pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Untuk saya, kalau kita tengok daripada segi masa, memang inilah format paling sesuai untuk liga dan semua tahu kita sudah kesuntukan masa kerana hanya empat sahaja perlawanan sempat dijalankan pada awal musim.

“Tambahan lagi MFL sudah membatalkan Piala FA, dan kita hanya ada Piala Malaysia yang perlu diteruskan selain skuad kebangsaan juga ada misi tersendiri. Memang ini sahaja pilihan kita ada untuk liga kembali bersambung dan ia lebih baik daripada kita langsung tidak dapat bermain pada musim ini," tambahnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain