suria

Durakovic, Zainal kini tersenyum lebar, akui kebenaran kembali ke padang positif untuk Liga-M

Jurulatih Durakovic dan Zainal teruja aksi bola sepak kembali bersambung 15 Jun ini.

DUNIA sukan bola sepak bakal kembali beraksi selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk kembali memulakan latihan.

Sejak Mac lalu, semua aktiviti sukan dihentikan berikutan penularan wabak pandemik Covid-19.

Beberapa jurulatih Liga Malaysia menganggap kebenaran yang diberikan kepada semua pasukan memulakan latihan pada 15 Jun ini sebagai satu berita yang tidak disangka namun cukup menggembirakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Sukan tanah air sunyi tanpa bola sepak, kapten Perak harap aksi Liga-M kembali lebih awal demi tahap kecergasan terbaik pemain

Teruja

Jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, yang begitu teruja mendapat perkhabaran itu kerana beliau menjangkakan semua pasukan hanya boleh memulakan latihan pada pertengahan Julai.

Berdasarkan perkembangan ini, beliau menjangkakan pemainnya akan lebih cergas serta bersedia menghadapi saingan Liga Malaysia yang berdasarkan perancangan pada September ini kerana mempunyai tempoh latihan antara sembilan ke sepuluh minggu.



Durakovic (tengah) bersama skuad Perak sebelum penangguhan Liga Malaysia sejak Mac lalu.

"Memang satu berita yang amat dinantikan dan tambah menggembirakan, kita boleh bermula pada 15 Jun ini iaitu satu tempoh yang lebih awal.

"Setelah tiga bulan berehat tanpa sebarang aksi bola sepak, tempoh diberikan ini cukup ideal dalam membina kembali tahap kecergasan pemain.

"Cuma dalam pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP), saya harap semua pemain dan pegawai mampu ikuti apa sahaja garis panduan ditetapkan kerana kita mahu semua pihak berasa selamat daripada ancaman wabak Covid-19.

"Malah bagi sesi latihan yang akan bermula nanti, pasti ini satu norma baharu kerana perlu elakkan sebarang kontak sesama pemain dan saya akan cuba memastikan perkara ini boleh diikuti semua dalam pasukan Perak," jelas pengendali kelahiran Australia itu.

Isnin lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Sri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan bahawa latihan bola sepak, sama ada secara profesional atau sosial telah dibenarkan untuk dijalankan semula mulai 15 Jun 2020.

Bagaimanapun, kebenaran itu tidak membabitkan sebarang bentuk pertandingan tetapi hanya untuk memulakan sesi latihan dengan SOP yang ketat.

Sedia ikut SOP

Bagi jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, juga menyambut pengumuman MKN itu sebagai sesuatu yang positif selain sudah bersedia mendengar apa sahaja SOP yang ditetapkan.



Pemain-pemain Liga Malaysia bakal kembali menjalani latihan bermula 15 Jun ini.

Walaupun dia berasakan empat minggu sudah mencukupi buat pemain-pemainnya mendapatkan kembali kecergasan dalam menghadapi perlawanan kompetitif tetapi melalui kebenaran ini, Zainal kini boleh tersenyum lebar kerana banyak perkara boleh dilakukan sebelum liga bermula September depan.

"Sememangnya situasi ini memang di luar jangka kerana pemain seolah-olah menghadapi persiapan pra musim sebanyak dua kali dalam tempoh satu musim.

"Namun, melalui berita disampaikan semalam, saya rasa lega dan kini kami sedia mendengar apa sahaja SOP yang perlu dipatuhi.

"Mungkin suasana dalam latihan nanti akan sedikit berbeza kerana ada banyak SOP perlu dipatuhi tetapi kita akan cuba atasi rasa kekok itu bagi memastikan latihan dapat dijalankan," jelasnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain