LUQMAN Hakim Shamsuddin adalah pemain bola sepak muda negara yang berbakat besar telah meninggalkan Malaysia pada Ogos lalu untuk menyertai kelab bola sepak Belgium, KV Kortrijk. Fizikal Luqman kini tampak lebih tegap susulan makanan istimewa yang disediakan oleh kelabnya. ARTIKEL BERKAITAN: Ronaldo hanya bernilai RM122 juta, intai kembali ke Real Madrid Jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe kagum dengan fizikal pemain muda tersebut ketika Luqman menyertai kem latihan berpusat pasukan negara di Johor Bahru. "Bagus untuk saya terus bersaing di Eropah, Saya perlu fizikal yang berotot kerana pemain di Eropah bersaiz besar, jika saya kurus saya akan diketepikan,” kata Luqman. "Saya lebih kuat sekarang jadi saya dapat menangani permainan yang melibatkan fizikal. Walaupun saya lebih besar sekarang, saya masih antara yang terkecil di kelab." Luqman, juga pernah berkongsi pengambilan makanan hariannya di sidang media maya, yang rata-ratanya terdiri daripada makanan sihat. "Kelab menyediakan sarapan dan makan tengah hari untuk diet yang sangat terkawal. Saya akan makan malam di rumah. “Saya biasanya mengambil makanan seperti ikan, ayam, lasagna dan spageti. Makanan adalah aspek yang sangat penting bagi saya sekarang," katanya. Kemasukannya dalam pasukan kebangsaan telah menimbulkan keraguan kerana dia dianggap terlalu muda tetapi Luqman kekal positif. "Saya di sini untuk pengalaman. Saya hanya akan fokus bekerja keras dalam latihan untuk menarik perhatian jurulatih. Bagi saya usia bukanlah faktor selagi anda boleh bermain bola sepak dengan baik. "Bagus juga saya dapat bermain dan berlatih dengan senior yang juga idola saya." "Saya idolakan mereka semua tetapi jika saya harus memilih salah seorang, saya akan memilih Brendan Gan kerana perwatakannya." Pasukan negara kini sedang bersiap sedia untuk kelayakan Piala Dunia-Piala Asia yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Malaysia akan menentang UAE (3 Jun) diikuti oleh Vietnam (11 Jun) dan Thailand empat hari kemudian. Malaysia kini berada di kedudukan kedua Kumpulan G dengan sembilan mata. - THE STAR Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!