suria

"Jangan tertipu!" Juara Olimpik kritik atlet guna teknologi kasut

WARHOLM menyifatkan bahawa penggunaan kasut dengan teknologi terkini hanya mencalarkan kredibiliti seseorang atlet.

PENGGUNAAN kasut sukan dengan rekaan berfungsi khusus dalam pertandingan dianggap sebagai menipu dan boleh mencalarkan kredibiliti seseorang atlet.

Perkara itu disuarakan oleh juara pingat emas acara 400 meter lari berpagar Sukan Olimpik Tokyo 2020, Karsten Warholm.

Dia mengkritik penggunaan kasut Nike Air Zoom Victory oleh pelari Amerika Syarikat, Rai Benjamin.

Kritikan pedas atlet dari Norway itu terhadap kasut yang dipakai Benjamin dan beberapa atlet acara berkenaan mencetuskan kontroversi serta mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Katanya, kasut yang direka dengan plat tapak fiber karbon, dengan lapik berbusa anjal berserta poket udara yang besar untuk lebih lonjakan seperti trampolin itu tidak menyerlahkan kredibiliti sebenar seorang atlet.

Jelasnya yang mengenakan kasut sukan jenama Puma, teknologi terkini dari Nike itu bukanlah kasut yang terbaik untuk digunakan dalam acara pecut.

Malah, pengkritik sukan juga menyamakan penggunaan kasut berkenaan setara dengan kesalahan doping mekanikal (menggunakan alat bantuan).

"Hakikatnya sekarang, kejayaan seorang atlet sering dikaitkan dengan kasut apa yang dipakai.

"Hal ini sebenarnya menimbulkan persoalan tentang kredibiliti seorang atlet yang dilihat berjaya kerana bantuan kasut," katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Bekas pemegang rekod dunia marathon Tegla Loroupe juga mempunyai pendapat yang sama terhadap kasut dengan rekaan teknologi khusus dalam acara sukan.

Bagaimanapun, ada pihak yang tidak sependapat dengan Warholm dan menyatakan bahawa ia adalah revolusi teknologi.

Tambah Warholm lagi, dia tidak mahu orang ramai terutama peminat sukan merasa tertipu dengan prestasi atlet yang dibantu dengan fungsi khusus kasut.

Dia juga berharap agar ada pihak yang melakukan penyelidikan tentang perkara tersebut supaya kredibiliti atlet tidak tercemar.

Dalam acara 400 meter lari berpagar, Warholm sekali lagi memecahkan rekod dunia yang dilakukannya dalam satu temasya sukan di Oslo (46.70 saat) dengan masa 45.94 saat.

Benjamin pula terpaksa akur sekadar berada ditempat kedua diikuti Alison dos Santos dari Brazil di tempat ketiga. - BBC

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

olimpik, emas, warholm, lari, berpagar

Artikel Lain