SEMUA pemain badminton kebangsaan akan mendapat peluang yang sama untuk mengisi kekosongan dalam skuad negara ke kejuaraan badminton Piala Thomas bersama Lee Zii Jia serta Aaron Chia dan Soh Wooi Yik. Pemilihan tersebut akan dilakukan menerusi kejohanan peringkat dalaman yang akan diadakan pada minggu pertama bulan September ini. ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19, situasi dunia beri tekanan mental buat Naomi Osaka Menurut jurulatih badminton kebangsaan Wong Choong Hann, semua calon perlu menampilkan prestasi yang terbaik untuk menempah tempat ke pertandingan Piala Thomas. Denmark akan menjadi tuan rumah pertandingan itu pada 9-17 Oktober di Odense. "Calon untuk wakil negara perlu ditentukan sebelum pendaftaran dilakukan pada pertengahan September ini. "Mereka yang bertanding akan mengisi slot untuk kategori perseorangan bersama Zii Jia dan beregu (Aaron -Wooi Yik)," katanya kepada The Star. Tambahnya Zii Jia telah secara automatik layak ke Piala Thomas menerusi kemenangannya di All-England pada bulan Mac lalu sementara Aaron-Wooi Yik pula atas kejayaan meraih pingat gangsa di Sukan Olimpik Tokyo. Antara calon untuk kategori perseorangan yang akan bertanding merebut tempat ke Piala Thomas adalah pemain nombor 67 dunia Cheam June Wei, Ng Tze Yong (91), Leong Jun Hao (No. 120), Aidil Sholeh Ali Sadikin (No. 122) dan Lim Chong King (150). Bagi beregu pula akan memperlihatkan saingan antara pasangan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Chang Yee Jun-Chia Wei Jie. Jelasnya lagi, dia berharap agar kejohanan dalaman ini akan dapat menyerlahkan potensi pemain dan membakar semangat mereka untuk memberikan yang terbaik. Malaysia juga akan menghantar pasukan untuk kejohanan badminton Final Piala Uber. Bagaimanapun, pemilihan pemain wanita untuk pertandingan itu dilakukan secara terus. Selain menyusun strategi untuk kedua-dua kejohanan tersebut, Choong Hann turut melakukan perancangan awal untuk misi Sukan Olimpik Paris 2024. Katanya lagi, pihaknya akan sentiasa memantau prestasi pemain dan jurulatih selepas Olimpik Tokyo dan memulakan langkah lebih awal bagi menguatkan pasukan untuk temasya akan datang di Paris. Sementara itu, untuk Piala Thomas, Malaysia bakal bersaing dalam kumpulan D bersama Jepun, Kanada dan England. Malaysia juga berada dalam kumpulan D untuk Piala Uber, dan bakal berdepan dengan China, Kanada dan Denmark. Terdahulu, Choong Hann menyatakan bahawa keutamaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) adalah untuk membina semula pasukan muda bagi menyambung legasi kejayaan Zii Jia dan Aaron -Wooi Yik. Katanya fokus harus diberikan kepada pembangunan pemain muda untuk mengembalikan kegemilangan arena sukan badminton negara dan tidak hanya bersandar kepada pemain berpengalaman semata-mata. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI