DUA kelab Sepanyol, Barcelona dan Atletico Madrid dilaporkan berminat untuk menandatangani penyerang Arsenal, Alexandre Lacazette selepas The Gunners bersetuju untuk melepaskan pemain itu dengan potongan harga semasa jendela perpindahan Januari. Meskipun kontrak Lacazette hanya akan tamat pada akhir Jun 2022, dia difahamkan boleh meninggalkan Emirates secara percuma jika mahu menamatkan kontraknya. Lacazette juga dikatakan tidak sabar untuk meninggalkan Arsenal kerana dilaporkan tidak sebulu dengan pengurus kelab, Mikel Arteta. Pengurus Barcelona, Ronald Koeman pada masa sama percaya bahawa Lacazette merupakan pelengkap kepada pasukannya. Ia susulan prestasi cemerlang Lacazette dalam 173 penampilan bersama Arsenal yang menjaringkan 67 gol dan menyumbang 29 bantuan jaringan (assist) setakat ini. Bagaimanapun, Barcelona perlu tampil dengan tawaran yang mampu menarik minat Lacazette kerana pada masa sama kelab Atletico Madrid juga mahu menyunting pemain berusia 30 tahun itu. Terdahulu, Atletico turut menyatakan minat terhadap pemain asal Perancis itu. Pengurusnya, Diego Simeone juga mahu Lacazette menjadi sebahagian dalam percaturanya untuk meningkatkan jentera serangannya musim ini. Peluang Lacazette untuk menyerlah dengan Arsenal dilihat tipis pada musim ini. Dia terlepas dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris musim ini setelah dijangkiti coronavirus bulan lalu. Selain itu, dia hanya bermain selama 31 minit sebagai pemain gantian ketika Arsenal dibelasah 0-5 ketika berdepan Manchester City pada 28 Ogos. Lacazette hanya membuat penampilan penuh pertamanya musim ini apabila meletakkan nama selaku pejaring dalam kemenangan selesa 3-0 The Gunners ke atas AFC Wimbledon pada pusingan ketiga Piala Liga Carabao awal pagi Khamis. — Agensi Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI