suria

Presiden FIFA mahu Piala Dunia diadakan tiga tahun sekali

Infantino mahu mengubah kekerapan Piala Dunia dianjurkan.

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mahu Piala Dunia diadakan setiap tiga tahun untuk membina momentum, menurut laporan.

Infantino baru-baru ini turut mendedahkan rancangan besarnya untuk mengembangkan Kelab Piala Dunia pada tahun 2025.

Infantino dikatakan begitu gembira dengan kejayaan komersial kejohanan di Qatar dan juga percaya Piala Dunia musim sejuk boleh membawa perubahan.

Piala Dunia boleh dianjurkan setiap tiga tahun sekali jika ideanya diterima.

Untuk rekod, Piala Dunia diadakan setiap empat tahun sekali sejak ia pertama kali dianjurkan oleh Uruguay pada tahun 1930.

Walaupun rancangan ini agak besar, ia tidak akan dapat berubah dalam jangka masa kejohanan sehingga selepas Piala Dunia 2030.

Perbualan antara pelbagai pihak berkuasa sepanjang kalendar antarabangsa tahun 2024 hingga 2030 dipercayai berada di peringkat akhir.

ARTIKEL BERKAITAN: Julang trofi Piala Dunia kali terakhir... Messi bersara dengan Bola Emas, dinobat legenda!

Namun begitu, ia tidak menghalang Infantino daripada membincangkan perkara ini di sebalik tabir.

Beliau juga menyatakan dengan jelas hasratnya untuk menjadi presiden FIFA dalam masa tiga penggal iaitu sehingga 2031, bermakna ada banyak masa untuknya memenuhi cita-citanya.

Infantino dipercayai telah menerima banyak sokongan daripada persatuan bola sepak Afrika dan Asia tetapi Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan konfederasi Amerika Selatan (CONMEBOL) berkemungkinan lebih sukar untuk diyakinkan.- Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain