suria

Acara Pecut Tarik Perhatian Di Mitec

Skrin gergasi memaparkan Khairul Hafiz melambaikan tangan ke arah penyokongnya.

KUALA LUMPUR: Acara separuh akhir (kedua) pecut 100 meter ibarat berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (Mitec) apabila orang ramai memenuhi aras 1 dekat sini untuk menyaksikan raja pecut negara, Khairul Hafiz Jantan menerusi skrin besar yang disediakan.

Kira-kira 100 penyokong yang terdiri daripada pelajar sekolah, anggota keselamatan dan petugas media tidak ketinggalan memberikan sokongan kepada Khairul dalam acara penentuan ke final itu.

Aras 1 Mitec digegarkan dengan sorakan penyokong sebaik sahaja pelari kelahiran Melaka itu mengesahkan tempat pertama dalam acara separuh akhir kedua tersebut.

Hanis Natasha Rahman, salah seorang penyokong yang menyaksikan siaran langsung itu berkata dia memang menjangkakan Khairul Hafiz akan mara ke final dengan mudah.

Sebahagian penyokong yang tidak melepaskan peluang menonton aksi Khairul Hafiz.

"Gembira kerana dia dapat berentap di final. Saya tahu dia tiada masalah untuk menamatkan saingan itu. Kita tengok dia begitu tenang mengatasi pelumba lain," katanya.

Acara final pecut 100 meter yang akan berlangsung pada pukul 9.30 malam Selasa di Stadium Nasional Bukit Jalil pastinya menjadi tumpuan ramai apatah lagi Khairul disebut-sebut bakal menambah koleksi pingat emas buat negara.

Peluangnya terbuka luas apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2015, Eric Cray yang melakukan catatan masa 10.25 saat tidak akan mempertahankan gelarannya kerana ingin fokus dalam saingan 400 meter.

Khairul Hafiz mengesahkan tiket ke final selepas menamatkan aksi separuh akhir kedua itu dengan  catatan masa 10.34 saat.

Khairul Hafiz Jantan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Farah Ann Kecewa

Artikel Lain