suria

Farah Ann Kecewa

KUALA LUMPUR: Ratu gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila gagal mempertahankan pingat gangsa dalam acara palang bertingkat yang dimenangi pada Sukan SEA di Singapura, dua tahun lalu.

Pada acara tersebut yang berlangsung di Dewan 10, Pusat Perdagangan dan Pameran Antarbangsa Malaysia (Mitec) di sini, pagi Selasa menyaksikan Farah terjatuh ketika melakukan rutinnya sekali gus menjejaskan peluang untuk merangkul sebarang pingat.

Gimnas kelahiran Selangor itu sekadar menamatkan saingan di tempat kelima dengan mengutip 11.850 mata.

"Saya terjatuh masa nak buat rutin itu, jadi keputusan tak berapa bagus. Apa yang saya impikan tidak seperti diharapkan kerana skil saya tidak menjadi.

"Semestinya saya kecewa kerana saya mahu buat yang terbaik untuk negara. Namun saya gembira kerana Tracie (Ang) buat rutin itu dengan baik dan dapat pingat perak," katanya ketika ditemui di sini, Selasa.

Namun, Farah berazam mahu menebus kekecewaan itu pada satu lagi acara final senaman lantai yang akan berlangsung pada Rabu.

"Saya hanya mahu fokus untuk buat yang terbaik pada acara esok," katanya.

Sebaik menamatkan rutin tersebut, gimnas berusia 23 tahun itu meninggalkan gelanggang dalam keadaan kecewa dan cuba ditenangkan jurulatih dan rakan pasukan yang lain.

Meskipun tidak beraksi pada prestasi terbaiknya, Farah tetap mendapat sorakan penyokong yang hadir sekali gus menyebabkan dewan gamat seketika.


Sukan SEA, KL2017, Farah Ann

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain