suria

Kembar Teruja Emas Pada Penampilan Sulung Sukan SEA

Pasukan negara muncul pemenang pingat emas selepas mencatatkan masa 1:01:37.893. - Bernama

NILAI: Kembar seiras Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Muhammad Ameen Ahmad Kamal tidak menyangka mampu menghadiahkan emas buat negara, apatah lagi ia merupakan penampilan sulung mereka di pentas Sukan SEA.

Kembar berumur 22 tahun itu yang ditemui pemberita selepas pasukan berbasikal negara diumumkan juara, nyata terkejut dan gembira malah mereka yang digalaskan dengan tanggungjawab berat menghabiskan kayuhan sejauh 51 kilometer dalam acara Ujian Masa Berpasukan menyifatkannya sebagai usaha yang berbaloi.

Selain mereka berdua, skuad berbasikal negara turut dianggotai Nik Mohd Azwan Zulkiflie, 27, dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, 31, yang bertindak selaku ketua pasukan.

“Syukur Alhamdulillah, saya dan (Muhammad) Ameen memang terharu dapat menang pingat emas biar pun ini adalah kali pertama kami berlumba di Sukan Sea. Saya berterima kasih kepada Muhammad Fauzan kerana banyak membantu dan memberi tunjuk ajar kepada kami sama ada ketika latihan atau perlumbaan tadi.

“(Muhammad) Fauzan juga selalu meningatkan kami supaya jangan meninggalkan solat dan sentiasa berlatih bersungguh-sungguh jika mahu berjaya sebagai atlet lumba basikal,”kata Muhammad Ameer.

Pasukan lumba basikal negara (dari kiri) Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi, Muhammad Ameen Ahmad Kamal, Muhammad Ameer Ahmad Kamal dan Nik Mohd Azwan Zulkifli bergambar selepas berjaya memenangi pingat emas dalam acara ujian masa berpasukan Sukan Sea 2017. 

Bagi Muhammad Ameen,  biarpun mengalami sakit perut tiga hari lepas, semangatnya untuk menghadiahkan pingat untuk kem negara tetap membara.

"Hari ini (Selasa) kesihatan saya baik cuma tiga hari lepas sahaja saya mengalami sedikit sakit perut dan terpaksa menjaga pemakanan,”katanya.

Mengulas pertandingan pada Selasa, beliau berkata dirinya disuntik motivasi dan semangat apabila dapat bersama-sama mengayuh bersama abang kembarnya dalam pertandingan itu.

"Kalau dia ada, saya lagi semangat, kalau tak ada jadi macam kurang sikit,”katanya sambil menambah bahawa kejayaan meraih emas dalam acara berprestij seperti ini sudah pasti membanggakan keluarganya.

Muhammad Fauzan berkata pengalamannya selama 16 tahun sebagai pelumba basikal telah banyak membantu pasukan dan dirinya untuk meraih emas pada pertandingan tersebut.

"Dengan pengalaman saya, bila saya nampak tahap kelajuan (pasukan) perlahan, saya akan tambah (kelajuan) dan saya tahu di mana kami  perlu guna tenaga dan jimat tenaga dan inilah yang menyumbang kejayaan kami,”katanya.

Muhammad Fauzan berkata kali terakhir pasukan negara meraih emas dalam acara tersebut ialah pada Sukan Sea edisi ke-23 pada 2005 di Manila, Filipina. 

Sukan SEA KL 2017

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain