suria

Hakimi Pamer Aksi Terbaik, Perbaharui Rekod Sukan SEA

Atlet negara, Muhd Hakimi Ismail meraikan kejayaan selepas berjaya meraih pingat emas selepas beraksi pada acara lompat kijang lelaki akhir pada temasya Sukan SEA KL2017 di Stadium Bukit Jalil di sini, Rabu malam.

KUALA LUMPUR: Atlet lompat kijang negara Muhammad Hakimi Ismail sekali lagi mencatat rekod baharu Sukan SEA, sekali gus menghadiahkan pingat emas kelima buat kontinjen negara pada Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional, di sini, Rabu malam.

Muhammad Hakimi mencatatkan 16.77m pada lompatan terakhirnya, berbanding rekod kejohanan miliknya pada edisi lepas di Singapura, dengan catatan 16.76m.

Dengan kemenangan itu, beliau mengalahkan pencabar terdekatnya Mark Harry Diones dari Filipina yang meraih pingat perak dengan catatan 16.63m manakala pingat gangsa dimenangi Pratchaya Tepparak dari Thailand dengan catatan 16.37m.

Majlis penyampaian pingat disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Catatan terbaik beliau tahun ini ialah 16.45m di Almaty, Kazakhstan Jun lepas dan 16.33m di Terbuka Malaysia, bulan lepas.

Ketika ditemui pemberita, Muhammad Hakimi berkata temasya sukan itu memang menjadi sasaran utama baginya pada tahun ini dan kejayaan memperbaharui rekod menjadi satu bonus.

Tambahnya, prestasinya yang semakin stabil dengan catatan secara purata melebihi 16m menjadi antara faktor kejayaan pada malam ini.

"Berbanding dulu pencapaian saya 15.8m, 15.9m, 16.1m, tapi tahun ini saya lompat sekitar 16.5m, walaupun ada yang batal, tapi saya kekal dalam lingkungan itu dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan sempurna dan mungkin juga tuah saya, katanya.

Katanya selepas ini beliau akan berehat terlebih dahulu dan merancang persiapan untuk Sukan Komanwel di Sydney tahun hadapan.

"Saya perlu lebih bijak sebab saya banyak kecederaan dan perlu lebih berhati-hati," katanya.

Atlet berusia 26 tahun itu, menjadi wira negara pada edisi di Singapura apabila menamatkan penantian 20 tahun negara untuk merangkul pingat emas, selepas kali terakhir Malaysia meraih emas pada Sukan SEA 1997 di Indonesia menerusi Mohd Zaki Sadri dengan catatan 16.05m.-- Bernama

Hakimi, lompat kijang, Sukan SEA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain