KUALA LUMPUR: Misi Malaysia untuk merangkul 111 pingat emas pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) telah menghampiri tahap pertengahan setelah menambah 10 lagi pingat pada Rabu dan terus mengungguli persada pungutan pingat dengan 50 emas setakat ini. Hanya berbaki seminggu lagi, suasana semakin berbahang, apabila 38 jenis sukan sudah berlangsung, suasana semakin memuncak dan tuan rumah bakal mengulangi pencapaian yang sama pada, ketika menjadi tuan rumah pada Sukan SEA 2001. Vietnam mempamerkan kekuatan atlet mereka dalam acara olahraga, gimnastik dan karate dengan meraih 12 pingat emas pada Rabu, sekali gus melonjakkan kedudukan ke tempat kedua, memintas Singapura dengan satu pingat emas. Thailand juara bertahan keseluruhan pada edisi 2015, ketinggalan jauh dengan 16 pingat di tempat keempat, diikuti rapat Indonesia dengan 15 emas, serta Filipina dan Myanmar, yang masing-masing mengumpul 10 dan empat emas. Skuad bola sepak negara mengekalkan rekod bersih untuk mengungguli Kumpulan A selepas menewaskan Laos 3-1 untuk melengkapkan jadual pusingan awal pada Rabu. Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee, bakal berdepan dengan naib juara Kumpulan B yang menjadi perebutan antara juara bertahan Thailand, Indonesia dan Vietnam. Raja pecut Asia Tenggara yang baharu, Khairul Hafiz Jantan gagal menepati sasaran apabila tersingkir daripada podium dalam acara 200m selepas bergelut dengan masalah hamstring. Bagaimanapun, Khairul Hafiz, yang digelar ‘The Speedy Jantan' diaibkan oleh rakan senegara, G. Aravin Thevar yang merangkul gangsa. Khairul Hafiz (kanan) mengucapkan tahniah kepada pelari pecut Filipina, T. Anthony Beram (kiri) selepas pelari itu memenangi acara akhir 200m lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil. Badang negara, Jackie Wong Siew Cheer melakar rekod baharu Sukan SEA dalam acara baling tukul besi sebelum Elina Goh dan Muhammad Hakimi Ismail meneruskan dengan aksi cemerlang apabila memenangi acara 10km jalan kaki wanita dan lompat kijang lelaki. Pasukan karate juga menambah dua pingat, menjadikan lima pingat setakat ini, yang dimenangi Syakilla Salni Jefry Krishnan dalam acara kumite wanita bawah 55kg dan R. Sharmendran dalam kumite bawah 75kg. Turut menambah kilauan emas pada Rabu, perenang Welson Sim, ratu gimnastik Farah Ann Abdul Hadi dan emas pertama dalam acara tenpin boling daripada trio Esther Cheah, Shalin Zukifli dan Sin Li Jane. Welson Sim menafikan misi Singapura untuk menyapu bersih enam acara akhir di Pusat Akuatik Nasional. Beliau beraksi cemerlang dan berjaya memperbaharui rekod Sukan SEA kedua dan meraih emas dengan catatan 1:47.49s acara 200m selepas bersaing dengan penyandang acara ini, Hoang Quy Phuoc dari Vietnam yang mencatatkan 1:48.07s untuk perak, iaitu sama seperti Rekod Sukan SEA di Singapura 1:48.96s. “Ini adalah perlumbaan yang paling menyakitkan, pertandingan yang paling saya ingati dalam karier renang, pada 100m yang pertama saya betul-betul pantas,” kata Sim yang memberi kuakan terbaik di pusingan terakhir, sehari selepas mempertahankan pingat acara 400m gaya bebas juga melakar rekod baharu. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menunjukkan aksi gembira di atas kemenangan Sim mendapatkan satu lagi pingat emas buat negara. Bagi Wong, kemenangannya dalam acara baling tukul besi adalah hadiah hari jadinya yang disambut pada 4 Julai lepas, dan balingan keempat 65.90m telah mencipta rekod baharu Sukan SEA, menewaskan atlet Thailand Kittipong Boonmawan dengan 65.49m. Kemenangannya itu menamatkan penantian Malaysia selama 16 tahun, anak kelahiran Sarawak yang berusia 25 tahun itu, telah memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sebanyak tiga kali tahun ini, dengan catatan terbaik 65.34m. “Saya berbangga dengan prestasi hari ini (Rabu) malah bukan sahaja memenangi emas tetapi turut memecah rekod kejohanan di laman sendiri selepas kecewa tiga kali sebelum ini. Saya berterima kasih kepada keluarga yang datang dari kampung serta penyokong di stadium,” katanya yang berhasrat memenangi pingat pada Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia tahun depan. Gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi mempertahankan emas dalam acara senaman lantai individu dengan mengumpul 13.45 mata manakala gimnas Filipina, Kaitlin Cera De Guzman dan Rifda Irfanaluthfi, dari Indonesia masing-masing memenangi pingat perak dan gangsa. Farah Ann menangis setelah akhirnya berjaya merangkul pingat emas dalam disiplin Women's Floor Exercise Sukan SEA ke 29 KL2017 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec). Rifda dinobatkan pemenang acara batang titian dengan 13.125 mata selepas bantahan Indonesia terhadap wakil tuan rumah Tan Ing Yueh. Dalam acara badminton, dua pingat emas menjadi pertaruhan acara berpasukan lelaki dan wanita yang mengesahkan slot ke final esok. Malaysia akan menentang juara bertahan Indonesia dalam acara lelaki manakala wanita akan berentap dengan juara bertahan Thailand. Dalam acara skuasy beregu wanita, Rachel Arnold dan Andrea Lee menewaskan pasangan senegara Chan Yiwen dan Naziah Hanis 11-4, 11-10 dalam final manakala Mohammad Syafid Mohd Kamal dan Ng Eain Yow mengatasi pemain Singapura, Pang Ka Hoe dan Timothy Leon 11-3, 11-4 dalam final beregu lelaki. Esok, Malaysia sudah menggengam emas dalam acara skuasy apabila beregu campuran akan menjadi pertarungan antara pasangan Ryan Neville Pasqual dan Andrea berentap dengan Sanjay Singh Chal dan S. Sivasangari. - Bernama