SUASANA meriah dengan nyanyian lagu Negaraku bukan sahaja dapat didengari apabila kontinjen negara meraih emas, sebaliknya di luar perkarangan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec). Lebih menarik perhatian, apabila orang ramai khususnya pengunjung yang hadir menyaksikan beberapa acara berlangsung di sini turut berkumpul dan berebut menjawab soalan yang diutarakan pengacara Negaraku. Sejak bermulanya acara Sukan SEA (KL2017) di venue ini, tersergam sebuah trak biru dengan lambang Negaraku serta bendera Malaysia, Jalur Gemilang. Trak tersebut berada di situ bagi program 'Kembara Negaraku', satu inisiatif untuk menyerapkan semangat cintakan negara. Pengarah Projek Negaraku, Iswandy Md Noor berkata, Kembara Negaraku sudah bermula pada Ramadan lalu. Iswandy (empat dr kiri bersama team Negaraku. Turut kelihatan dalah seorang pengunjung ke Trak Kembara Negaraku (baju biru). "Sekarang kita menumpukan perhatian di beberapa venue Sukan SEA dan memberi baju-T secara percuma kepada orang ramai. Tetapi sebelum itu, mereka perlu menjawab beberapa soalan mudah mengenai sejarah negara atau tokoh tanah air. "Program ini secara jelasnya untuk menyemarakkan semangat cintakan tanah air dan bukan hanya sempena sambutan Hari Merdeka sahaja. "Kembara Negaraku menyasarkan 48 lokasi di seluruh Lembah Klang dan setiap lokasi kita akan berikan sebanyak 100 helai baju-T. "Saya yakin sehingga Disember ini, sasaran 48 lokasi akan tercapai. Setakat ini kita telah agihkan 2,000 helai baju kepada orang awam," jelasnya kepada mStar Online. Jelas Iswandy, selepas projek Kembara Negaraku ini, satu lagi program melibatkan peniaga pasar malam akan dijalankan. "Kami akan bekerjasama dengan peniaga burger di pasar malam dengan membeli jualan mereka. Selepas itu kami akan mengedarkan burger tersebut kepada orang ramai secara percuma di 'foodtruck' kami ini. "Sebenarnya setiap program yang dibuat ada targetnya sendiri. Contohnya, ketika program pertama sebelum ini (Negaraku Ramadan) kami memberi baju-T dan dan bubur lambok dan yang kedua ini mengedarkan baju-T dan diikuti baju-T dan burger pula. "Harapan Negaraku semoga kita dapat mengutuhkan perpaduan, kesatuan, dan kami mahu semua masyarakat tak kira bangsa, agama, bangga menjadi rakyat Malaysia. Iswandy berkata, setakat ini dia dibantu kira-kira 20 sukarelawan bagi melancarkan program yang dianjurkan ini. Rakyat Malaysia boleh mengikuti perkembangan terkini mengenai Negaraku di laman rasmi Facebook www.facebook.com/MyNegarakuMalaysia, laman web http://www.negaraku.com, serta Twitter - Negaraku @my_negaraku.