suria

Grace Dedikasi Emas Kepada Mendiang Ibu

Grace Wong Xiu Mei.

KUALA LUMPUR: Atlet baling tukul besi wanita negara, Grace Wong Xiu Mei mahu mendedikasikan kejayaan meraih pingat emas dengan memecahkan rekod Sukan SEA pada Khamis, kepada mendiang ibunya yang meninggal dunia empat bulan lepas.

Ibunya, Lina Awaru yang berasal dari Papua New Guinea meninggal dunia pada 14 April lalu, ketika atlet berusia 17 tahun itu memecahkan rekod kebangsaan dengan balingan 60.99m semasa kem latihan selama dua bulan di Korea Selatan.

Walaupun tidak mencapai catatan peribadi terbaiknya hari ini, atlet berasal dari Sarikei, Sarawak itu mengukir namanya dalam buku rekod Sukan SEA apabila melakukan balingan sejauh 59.24m di Stadium Nasional di sini, mengatasi rekod lama 56.57m milik Mingkamon Koomphon dari Thailand pada edisi lalu di Singapura.

Juara bertahan Mingkamon terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 56.17m, manakala rakan senegaranya, Panwat Gimstrang membawa pulang gangsa dengan 56.06m.

Bercakap kepada pemberita selepas acara itu, anak saudara  kepada pemenang lima pingat emas acara baling tukul besi lelaki Sukan SEA, Wong Tee Kue, berkata kemenangan itu telah dijangkakan selepas menjalani latihan di Korea Selatan.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada jurulatih saya Gu Yuan, yang tidak berputus asa dengan saya walaupun saya mengalami kecederaan buku lali kaki kiri di Korea. Saya tak sangka saya akan main acara ini kerana pada awalnya saya bermula dengan lontar peluru dan keluarga saya tidak halang saya,” kata pemenang pingat gangsa Sukan SEA Singapura itu.

Beliau juga mahu mencapai catatan di atas 70m pada masa akan datang, seperti yang pernah dilakukan oleh Gu yang mempunyai catatan terbaiknya dengan 72.36m.

Pada Rabu, seorang lagi anak didik jurulatih dari China itu, Jackie Wong Siew Cheer turut meraih emas selepas memecahkan rekod Sukan SEA dengan catatan 65.90m.

Sementara itu, Gu yang memainkan peranan penting dalam membantu kedua-dua atlet baling tukul besi itu mencapai kejayaan dengan mengorbankan cuti untuk balik ke China, mahu melihat kedua-dua atlet itu mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi seperti Sukan Asia dan Komanwel.

“Saya hanya menggunakan program latihan yang sesuai kepada mengikut keperluan mereka kerana saya pun pernah menjalani latihan selama berpuluh-puluh tahun. Baling tukul besi ini sangat sakit, maka mereka perlu menahan kesakitan dan keletihan dan ikut arahan saya.

“Perkara pertama yang saya akan lakukan selepas Sukan SEA ialah balik ke rumah untuk jumpa ibu saya,” kata jurulatih berusia 35 tahun yang fasih berbahasa Melayu.

Bekas juara Kejohanan Dunia itu juga yakin bahawa Grace mampu menduduki tempat kelima atau keenam di Sukan Asia dan meraih gangsa di Sukan Komanwel. - BERNAMA

KL2017

Artikel Sebelum

Warna-Warni KL2017, Khamis

Artikel Berikut

Artikel Lain