suria

Khairy Ajak Orang Ramai Sokong Atlet Para Negara

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyeru agar orang ramai hadir ke venue pertandingan Sukan Para Asean (APG) kesembilan 2017 bagi memberi sokongan kepada atlet para negara dalam misi memburu 103 pingat emas.

Beliau yang ditemui di venue bola tampar duduk di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (Mitec) pada Selasa berkata, kehadiran penyokong sedikit sebanyak dapat membakar semangat atlet para yang mempunyai kekuatan ‘luar biasa' ketika menghadapi lawan masing-masing.

“Saya harap ramai lagi dapat datang untuk memberi sokongan kepada kontinjen para kita. Ada venue yang menerima kehadiran ramai penonton seperti di akuatik.

“Ramai lagi akan datang untuk beri sokongan terutama pada hari Jumaat dan Sabtu ini,” katanya.

Sukan Para Asean kesembilan yang sedang berlangsung sehingga 23 September ini, menawarkan 368 pingat emas dalam 16 acara sukan.

Seramai 1,421 atlet daripada 11 negara bertanding pada temasya yang berlangsung selama tujuh hari.

Sementara itu, Khairy yang mengakui saingan lebih sengit dalam temasya Para Asean itu, berharap kontinjen negara mampu mencapai 103 pingat emas untuk menduduki tempat kedua keseluruhan.

“Saya melihat prestasi kontinjen menepati sasaran setakat ini. Saya harap mereka akan terus berusaha memburu 103 pingat emas dan ia mencukupi untuk menduduki sekurang-kurangya tempat kedua teratas,” katanya.

Setakat jam 6 petang, kontinjen negara berada di tempat kedua selepas mengumpul 31 pingat emas, 22 perak dan 21 gangsa , di belakang Indonesia yang meraih 37 emas, 18 perak dan 19 gangsa.

Vietnam pula di tangga ketiga dengan 18 emas, 24 perak dan 17 gangsa. -Bernama

Sukan Para

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Jadual Perlawanan Liga Super, Rabu

Artikel Lain