PETALING JAYA: Kelayakan Piala Asia Bawah 16 tahun dianggap ujian penilaian pasukan pasukan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) selepas 2014 dilancarkan secara rasmi. Biarpun di atas kertas, pasukan PPBN yang dikendalikan ketua jurulatih Lim Teong Kim sudah layak secara automatik apabila Malaysia dipilih sebagai tuan rumah Piala Asia Bawah 16 Tahun 2018. Teong Kim yang juga Pengarah PPBN menjelaskan semua dalam aturan yang baik untuk berdepan dengan siri kelayakan ini bagi memastikan skuad negara layak secara bersaing. "Kami sudah membuat persediaan yang sangat baik," ujarnya ringkas kepada mStar Online sebelum berangkat ke Indonesia. Sepanjang tiga tahun program DNA bola sepak negara ini dijalankan, pasukan Teong Kim sebelum ini sudah memberi harapan kepada pembangunan bola sepak negara. Pemergian mereka ke Indonesia bagi saingan kelayakan ini sudah tentu bagi mengisi ilmu dan pengalaman berguna. Sejak tiga tahun, mereka telah didedahkan dengan pelbagai pengalaman sama ada di peringkat Asean, Asia dan juga Eropah. Dan pencapaian mereka juga tidak boleh dinafikan apabila menjadi salah satu pasukan yang mendapat perhatian pada Siri Jelajah Eropah tahun ini. Sementara itu, Pengarah Kanan PPBN, Safirul Azli Abu Bakar berkata, pengesahan Malaysia sebagai tuan rumah merupakan sesuatu yang baik untuk peminat bola sepak tempatan. "Ini kerana kita dapat menonton pasukan B-16 terbaik di Asia termasuk skuad muda kebangsaan kita. "Dari segi kelebihan bermain di tempat sendiri, saya yakin Teong Kim akan bagi input yang lebih jelas," jelasnya. Safirul turut memberitahu skuad negara akan meneruskan misi yang ditetapkan pada saingan kelayakan ini. "Kita akan bermain seperti biasa dengan misi untuk menjuarai kumpulan nanti," ujarnya. Skuad B-16 bakal berangkat ke Bekasi, Indonesia bermula 20 sehingga 24 September depan bagi saingan kelayakan dalam Kumpulan J bersama Jepun, Singapura dan Guam.