PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mendedahkan sedang berbincang dengan semua pemain mengenai kontrak sedia ada mereka bersama skuad Lang Merah itu. Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, buat masa ini tiada keputusan muktamad dicapai di peringkat pengurusan berhubung kontrak semua pemain. "KFA belum buat apa-apa keputusan sama ada mahu sambung (kontrak) atau berhentikan mana-mana pemain setakat ini. "Soal sambung kontrak masih berjalan tapi kita belum capai keputusan muktamad. Kita masih lagi di peringkat perbincangan dengan semua pemain," katanya kepada mStar Online. Ditanya sama ada faktor belum mendapat lesen berstatus kelab sebagai punca kelewatan untuk memuktamadkan kontrak dua pemain importnya, Ken Ilso dan Zachary Anderson, Aminuddin bagaimanapun menafikan perkara itu. "Bukan sebab tunggu (kelulusan) lesen. Sebenarnya kita belum buat keputusan sebab mahu fokus kepada perkara yang lebih penting," katanya. Aminuddin Omar. Jelas Aminuddin, KFA enggan terburu-buru membuat keputusan mengenai perkara itu kerana mereka mahu fokus untuk merebut tempat kedua Liga Super selain mara ke final Piala Malaysia. "Kita nak fokus pada baki perlawanan yang ada. Perkara lain bukan tak penting tapi kita kena bergerak ikut keutamaan pasukan terlebih dahulu," katanya. Beliau berkata, KFA masih ada masa yang secukupnya untuk mempertimbangkan tawaran baharu kepada pemain yang kontraknya akan berakhir hujung musim ini. "Kita masih ada masa lagi untuk berbuat demikian. Lagipun kita ikut kontrak sedia ada. "Jadi pemain pun kena ikut kontrak mereka yang masih berbaki sehingga November ini. Tak perlu terburu-buru," katanya. Sementara itu, mengulas mengenai rayuan untuk mendapatkan lesen kelab daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Aminuddin berkata KFA masih belum mendapat maklum balas daripada Badan Rayuan (AB) badan induk bola sepak negara itu. "Belum dapat apa-apa keputusan kerana saya difahamkan badan rayuan FAM belum bermesyuarat. Namun KFA sudah lengkapkan segala dokumen yang diminta AFC," katanya. Terdahulu, Aminuddin berkata, permohonan KFA untuk mendapatkan lesen berstatus kelab sebelum ini gagal gara-gara disebabkan penyata kewangan yang tidak lengkap. Namun katanya, KFA telah pun mengemukakan kembali rayuan dan segala dokumen yang diperlukan FAM untuk tujuan tersebut.