DANNY Welbeck akan menjalani pemeriksaan imbasan kali kedua pada Selasa untuk mengetahui tahap kecederaan pangkal paha yang dialaminya, Ahad lalu. Ia sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa dia akan diketepikan selama empat minggu. Penampilan penyerang Arsenal itu dalam empat aksi bersama The Gunners masih lagi menjadi tanda tanya selain pertemuan England menentang Slovenia dan Lithuania pada saingan kelayakan Piala Dunia selepas mengalami kecederaan ketika menentang Chelsea, Ahad lalu. Welbeck menjalani imbasan awal pada Isnin dan tahap kecederaannya akan dipantau lebih lanjut, Selasa. Kecederaan yang dialaminya kelihatan serius tetapi Arsenal enggan mengambil risiko terhadap tahap kecergasan Welbeck dengan terburu-buru menurunkannya. Arsene Wenger mempunyai pilihan pemain lain di bahagian serangan dan hanya akan membenarkan Welbeck beraksi semula apabila kecederaannya benar-benar pulih. Welbeck menjaringkan tiga gol dalam lima perlawanan Liga Perdana Inggeris sekali gus muncul penjaring terbanyak Arsenal setakat ini. Kecederaan tersebut turut memberi tamparan hebat kepada Pengurus England, Gareth Southgate ketika pasukannya mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia bulan depan.