suria

Presiden Kafa Keluar Duit Sendiri

PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Bibi Ramjani Ilias Khan berada di bank pada pagi Selasa untuk menyelesaikan tunggakan dua bulan gaji skuad Piala Presiden pasukan itu.

Malah, pengasas Desa Murni Batik Kota Bharu itu berkata beliau turut menggunakan wangnya sendiri untuk melunaskan tunggakan tersebut.

"Ya (guna duit sendiri) kerana saya tak dapat kepastian lagi mengenai jumlah sebenar wang dalam Kafa," katanya kepada mStar Online.

Ditanya mengenai jumlah tunggakan gaji tersebut, Bibi bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Elokkan perkara itu dirahsiakan," katanya.

Jelas usahawan kelahiran Kok Lanas itu, beliau akan menyerahkan bayaran gaji bulan Julai dan Ogos kepada pemain tersebut di sebuah hotel di Kota Bahru, tengah hari Selasa.

"Saya sendiri akan bagi duit gaji disamping dapat mengenali pemain dengan lebih dekat," katanya.

Beliau berkata langkah itu diambil selepas mempengerusi mesyuarat pertama barisan kepimpinan baharu Kafa malam Isnin.

"Banyak perkara dibincangkan termasuk isu tunggakan gaji pemain. Langkah awal adalah membayar gaji skuad Piala Presiden yang akan beraksi di peringkat suku akhir menentang Negeri Sembilan pada 21 September nanti.

"Kasihan dekat mereka. Sekurang-kurangnya langkah tersebut boleh memberi suntikan kepada para pemain," katanya.

Diminta mengulas mengenai bayaran tunggakan gaji pemain Liga Super, Bibi berkata perkara itu akan diselesaikan langkah demi langkah.

"Saya minta pemain supaya bersabar dan jangan fikirkan dulu mengenai gaji. Beri fokus kepada perlawanan menentang JDT malam esok (Rabu)," katanya.

Bibi Ramjani Ilias Khan, Kafa

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Welbeck Direhatkan Empat Minggu

Artikel Lain